Aliran mengorak langkah baru dalam Malaysia baru










Dalam mesyuarat agung tahunan ke42nya hari ini, Aliran membincang peranan yang ia perlu mainkan dalam lanskap politik yang berubah di bawah pemerintahan baru.
Mesyuarant ini memikirkan apakah cara terbaik bagi Aliran berinteraksi secara membina dengan pemerintah baru dalam usaha mengejar agenda reformasi di samping bersikap berjaga-jaga dan memantau pihak berkuasa.
Dalam ucapannya, Dr Prema Devaraj, yang telah dipilih semula sebagai presiden bagi penggal ketiga, mengalu-alu usaha pemerintah PH membina sebuah Malaysia baru, termasuk kesanggupannya untuk berdailog dan bekerjasama dengan kelompok masyarakat sivil mengenai beberapa isu.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa dalam usaha mewujudkan perubahan, ada perlunya satu hala tuju yang jelas yang berasaskan ideologi yang menuntut maruah dan hak semua orang diketengahkan dalam semua usaha yang dimajukan.
“Bagi Aliran, ideologi ini harus mengambil kira prinsip hak asasi manusia, tadbir urus yang baik, pendekatan inklusif dan pembangunan lestari – pada asasnya meletakkan insan terdahulu daripada keuntungan. Dalam beberapa hal, pemerintah PH terpaksa diperingatkan tentang sebahagian daripada prinsip ini.”
Prema menggesa ahli-ahli Aliran untuk melibatkan diri dalam membangunkan Malaysia baru – satu proses yang akan mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran dan usaha membina. “Kita mesti bertapak di atas bumi rakyat yang nyata dan memastikan usaha kita bukan sahaja bercorak teoritis atau datang dari kedudukan keistimewaan, tapi menangani isu pokok yang dihadapi rakyat.”
Turut dipilih dalam jawatankuasa eksekutif Aliran ialah Henry Loh sebagai setiausaha kehormat, Dr Azmil Tayeb sebagai penolong setiausaha kehormat dan Anil Netto sebagai bendahari kehormat.
Ahli-ahli juga memilih orang berikut ke dalam jawatankuasa eksekutif: Dr Francis Loh, Dr Mustafa K Anuar, Andrew Wong, Prof Zaharom Nain, Dr Christopher Chong Eu Choong, Dr Lye Tuck-Po, Dr Faisal Hazis, K Haridas, Ng Tien Eng, Dr Ngu Ik Tien dan Wan Atikah Wan Yusoff.
David Yeoh dipilih sebagai auditor kehormat.
Henry Loh
Setiausaha kehormat Aliran
25 November 2018

No comments: