Rusuhan kuil: Pemaju nafi cetus ketegangan
One City Development Sdn Bhd menafikan mencetuskan pergaduhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman Temple di USJ 25, Subang Jaya subuh hari ini.
“Mereka yang telah mengikuti isu ini dapat membuktikan fakta bahawa One City telah menunda pelaksanaan perintah mahkamah (writ) mengenai kepemilikan (tanah) sebanyak beberapa kali, dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keamanan tetap dipertahankan selama proses pelaksanaannya.
“Tuduhan bahawa One City merancang kejadian tersebut adalah pembohongan yang berbahaya dan kami mengutuk apa-apa tindakan keganasan atau apa-apa cubaan mengaitkan (insinuation) syarikat ini melakukan tindakan (ganas) sedemikian rupa,” kata syarikat tersebut, petik laporan Malay Mail.
Awal pagi tadi, pertempuran meletus di kuil itu selepas para penganutnya diserang oleh sekumpulan orang luar.
Para penganut Hindu di kuil itu mendakwa kira-kira 200 orang telah menyerang, namun penemuan awal polis awal menganggarkan jumlah penyerang sekitar 50 orang.
One City berkata persekitaran yang tidak menyenangkan hanya akan merugikan syarikat itu sahaja.
“Ia bukan satu kelebihan kepada One City untuk mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan, ketegangan yang tidak perlu atau gangguan di tanah sendiri seperti yang didakwa kerana ia menjadi sia-sia selepas berusaha menjalani proses undang-undang yang panjang,” katanya.
One City merupakan pemilik tanah kuil berkenaan dan mendesak supaya kuil itu dipindahkan.
Polis Subang Jaya awal pagi tadi menyifatkan pergaduhan di Kuil Sri Mariammam, USJ 25, Putra Heights melibatkan “dua kumpulan bangsa India”.
Kenyataan itu kemudian dipinda dengan menyebut ia melihatkan dua kumpulan iaitu pemaju dan penganut kuil, tanpa menyebut bangsa terlibat.
“Pergaduhan kumpulan kuil dan kumpulan pemaju telah berlaku di dalam kawasan Kuil Sri Mariammam, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.
“Punca kejadian adalah perselisihan faham antara dua kumpulan berkenaan isu perpindahan Kuil,” kata ibu pejabat polis daerah Subang Jaya dalam suatu kenyataan di Facebook.
Kuil tersebut sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu.
Rancangan untuk memindahkan kuil itu telah bermula sejak 2007 selepas tanah itu dibeli oleh One City Development Sdn Bhd.
Pada tahun 2014, penghakiman dengan persetujuan di mahkamah memutuskan syarikat One City dan dua kumpulan yang bersaing untuk menguruskan kuil itu bersetuju memindahkan tempat ibadat penganut Hindu itu ke atas sebidang tanah, kira-kira tiga kilometer dari tapak asal.
One City juga menyumbangkan RM1.5 juta kepada pihak kuil sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian.
Walau bagaimanapun, para penganut terus menentang usaha memindahkan kuil itu yang dilaporkan telah wujud sejak tahun 1891