Isu gaji penjawat awam Kelantan: Kenapa marah saya, tidak Najib?


Kisah kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya sehingga memerlukan suntikan dana daripada Putrajaya bukan perkara baru, sebaliknya berlarutan sejak zaman Datuk Seri Najib Razak mentadbir.
Namun, apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng membangkitkan perkara itu sepertimana Najib, beliau diserang bertalu-talu oleh pemimpin PAS.
“Sebaliknya bila saya sebagai Menteri Kewangan buat kenyataan yang sama, barisan kepimpinan PAS memainkan sentimen yang begitu mengapi-apikan dan membuat fitnah jahat bahawa saya berdendam dengan PAS sedangkan saya hanya menyatakan hakikat bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji/emolumen kepada ahli pentadbiran Kerajaan.
“Persoalannya ialah mengapa tidak ada reaksi sebegitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan PAS ketika Najib mendedahkan kepada umum pada 28 Januari 2018 bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2016 – ketika Barisan Nasional (BN) masih mentadbir – menurut Guan Eng, Kelantan menerima dana berjumlah RM398 juta daripada Kerajaan Persekutuan sepertimana negeri-negeri lain.
“Termasuk di dalam pemberian RM398 juta kepada Negeri Kelantan ini ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji/emolumen ahli pentadbiran kerajaan negeri Kelantan,” ujarnya.
Malah, katanya lagi, Putrajaya juga telah meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.
Namun, katanya, sehingga 31 Disember 2017, kerajaan negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta.
Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, pada Jun tahun ini, Putrajaya yang ditadbir Pakatan Harapan sekali lagi meluluskan permohonan pinjaman oleh kerajaan negeri Kelantan bagi membantu membayar gaji penjawat awam mereka.
“Saya ingin tekankan bahawa pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka bukannya sentimen dan fitnah jahat.
“Sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka.
“Pada masa yang sama, saya tertarik dengan reaksi keras daripada barisan kepimpinan PAS terhadap kenyataan saya, berbanding terhadap kenyataan Datuk Seri Najib yang membuat kenyataan yang serupa sebelum ini.
“Adakah ini kerana saya adalah sasaran ‘lembut’ yang membolehkan barisan kepimpinan PAS mainkan sentiment yang merbahaya sehingga boleh menggunakan fitnah jahat tanpa segan silu?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

No comments: