BERANIKAH ZAHID MENJAWAB "APA HAK YOU TANYA SOALAN?" SEKALI LAGI?




Semalam, Zahid Hamidi jelas menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap soalan wartawan yang bertanya tentang kedudukannya sebagai Presiden UMNO selepas beliau kini berdepan dengan 45 pertuduhan mahkamah berkaitan pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram.

Kepada wartawan yang ingin tahu sama ada beliau akan bercuti sementara atau sebaliknya, Zahid Hamidi sebaliknya hanya menjawab dengan berkata, “apa hak you tanya soalan?”

Cara Zahid Hamidi itu  memperlihatkan sikap ego dan sombong yang ada dalam dirinya serta seolah-olah tidak memahami tugas wartawan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat.

Pemimpin yang baik tentu saja tidak akan melafazkan ayat sedemkian kerana wartawan pada hakikatnya boleh bertanya apa saja soalan yang relevan dengan kes yang sedang dihadapinya dan terpulang kepada Zahid Hamidi sama ada mahu menjawabnya dengan baik, sekadar berdiam diri atau setidak-tidaknya memberi jawapan ringkas “tiada komen” saja.

Tetapi, menjawab dengan bertanya balik “apa hak you tanya soalan?” tidak lain melambangkan kemiskinan jiwanya sejak ketiadaan jawatan dalam kerajaan dan berdepan pula 45 kes pendakwaan di mahkamah.

Apakah watak sebegini layak bergelar pemimpin?

Kemudian, hari ini dilaporkan pula bahawa Zahid Hamidi akan menjelajah ke seluruh negara untuk membersihkan namanya yang sedang berdepan 45 pendakwaan tersebut.

Program bagi tujuan itu akan bermula 26 Oktober ini di Kuala Terengganu dan seterusnya pada 3 November di Kedah dan Perlis.

Dipercayai jadual kunjungan beliau ke lain-lain negeri akan diatur dari semasa ke semasa bergantung kepada kelapangan masanya.

Bagaimanapun, keputusan Zahid Hamidi untuk mengadakan program jelajah tersebut adalah suatu tindakan yang membuang masa dan tidak memberi makna apa-apa, kecuali jika beliau dapat membuktikan bahawa 45 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya itu adalah tidak benar, rekaan dan berniat jahat.

Tetapi, melihat kepada senarai 45 pertuduhan itu, mampukah beliau  membukti dan meyakinkan masyarakat bahawa semua atau sebahagian daripada pertuduhan tersebut adalah rekaan, berniat jahat dan sengaja diada-adakan?

Jika tiada apa-apa yang dapat dibuktikannya, bagaimana mahu namanya mahu dibersihkan?

Lebih buruk, bagaimana jika dalam program jelajahnya itu nanti, ada ahli UMNO yang agak celupar bertanya dan meminta pengakuan ikhlas atau atas nama Tuhan daripadanya berkaitan kebenaran 45 pertuduhan kes pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang dihadapinya?

Adakah Zahid Hamidi berani menjawabnya dengan ayat yang sama yang pernah dilemparkannya kepada wartawan semalam, “apa hak you tanya soalan?”

Beranikah Zahid Hamidi? (ShahbudinHusin 24/10/2018).