Guan Eng dedah surat Kelantan mohon bantuan dana Persekutuan


Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan surat dari Pejabat Perbendaharaan Kelantanmeminta bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam kerajaan negeri.
Surat bertarikh 18 Jun 2018 itu antara lain meminta kerajaan Persekutuan menyalurkan dana pendahuluan sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punca baru sumber hasil.
Surat itu turut menjelaskan mengenai bagaimana Kelantan mencatat aliran menaik defisit akaun semasa dengan jumlah terkumpul berjumlah RM19.46 juta dan defisit kumpulan wang pembangunan berjumlah RM45.03 juta, tidak termasuk tanggungan semasa berjumlah RM49.73 juta.
“Implikasi shortfall ini akan menyebabkan kerajaan negeri terdedah kepada kelewatan pembarayan gaji kakitangan termasuk sambilan sebanyak RM24.5 juta sebulan, serta bayaran bil-bil melebihi 14 hari,” kata surat itu.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.
Ditanya tentang kelulusan pinjaman pendahuluan yang diluluskan pada Jun iaitu sebanyak RM22.5 juta berbanding permohonan sebanyak RM24.5 juta, beliau berkata ia adalah pemberian bagi memenuhi keutamaan semasa.
“Ini untuk gaji, jadi (kita) cuba cepat-cepat bagi dahulu.
“Apabila kita beri (begitu saja kepada) sesiapa yang minta, saya rasa itu bukanlah tindakan belanjawan yang berhemah.
“Jadi kita bagi apa yang perlu dahulu iaitu (untuk membayar gaji) kakitangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut mendedahkan bahawa Kelantan sekali lagi membuat permohonan terbaharu dan telah diluluskan.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan jumlah permohonan baru itu buat masa ini.

No comments: