Transaksi 1MDB: Mustahil Najib tak tahu – Tun M
Mustahil untuk Najib Razak kata beliau tak sedar apa yang berlaku kepada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana semua transaksi mempunyai tandatangannya, kata Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu wawancara eksklusif dengan akhbar The Malay Mail, perdana menteri itu menyelar Najib yang mendakwa tidak mengetahui mengenai aliran tunai dana negara itu.
“Siapa hendak percaya yang dia tak tahu, bila dia tandatangan (namanya)? Semua duit keluar masuk, semua ada tandatangannya.
“Jika dia tak tahu, maksudnya dia tak faham apa maksud tandatangannya,” katanya dipetik akhbar itu.
1MDB mengumpul hutang RM42 bilion sejak diasaskan pada 2009, Dr Mahathir adalah pengkritik paling lantang isu itu sejak skandal itu terbongkar.
Dalam laporan Reuters semalam, Najib menyalahkan penasihat dan Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak mendedahkan penyelewengan yang berlaku kepadanya.
Najib mendakwa tidak menyedari pergerakan wang masuk ke dalam akaun peribadinya dari 1MDB, dan jika dana itu diseleweng untuk membeli aset termasuk kapal layar, lukisan, barangan kemas dan hartanah mewah.
Ketika skandal 1MDB rancak berlangsung, Najib adalah perdana menteri, menteri kewangan dan juga pengerusi lembaga penasihat dana pelaburan negara itu.