Najib cuba buat ‘silap mata’?


Kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa dirinya tidak wajar dipersalahkan ekoran skandal 1MDB mengundang pelbagai persoalan dan tanggapan.
Lebih memeranjatkan beliau juga mendakwa tidak tahu kewujudan beratus-ratus juta dolar yang muncul dalam akaun peribadinya.
Selain itu, Najib juga mendakwa tidak mengetahui bahawa dana 1MDB yang dipercayai diseleweng itu juga telah digunakan untuk membeli aset mewah seperti kapal layar, lukisan, barangan kemas dan hartanah mewah.
Najib juga dilihat seolah-olah cuba mengalihkan kesalahan tersebut apabila menyalahkan penasihat dan Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak mendedahkan penyelewengan yang berlaku kepadanya.
Najib membuat semua penafian tersebut ketika ditemubual Reuters semalam.
Namun, di sebalik ‘pengakuan’ itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah mustahil Najib tidak menyedari apa yang berlaku kepada dana 1MDB.
Ini memandangkan semua transaksi mempunyai tandatangannya.
“Siapa hendak percaya yang dia tak tahu, bila dia tandatangan (namanya)? Semua duit keluar masuk, semua ada tandatangannya.
“Jika dia tak tahu, maksudnya dia tak faham apa maksud tandatangannya,” katanya lapor MalayMail semalam. –