Tidak perlu pemilihan, bubar terus Umno – Mahfuz
Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan ketua-ketua Umno peringkat Cawangan dan Bahagian serta presiden yang rancak berjalan sehingga 30 Julai ini adalah tidak perlu. Sebaliknya, menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara itu, sebaik-baiknya Umno dibubarkan sahaja kerana tidak lagi diyakini rakyat.
“Umno harus dibubarkan memandangkan rakyat Malaysia dari berbagai kaum dan agama tidak lagi mempercayai parti ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut beliau, tidak ada seorang pun calon presiden yang mampu memulihkan imej Umno kerana parti itu tidak lepas daripada budaya membodek dan enggan mengakui kesilapan.
Kata Mahfuz lagi, ahli-ahli Umno kekal mengamalkan tabiat, pendirian dan kelakuan yang sama iaitu menyokong bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang sudah jelas terpalit skandal 1MDB yang amat memalukan negara
“Umno-BN kalah PRU14 sebab rakyat muak dengan pemimpin gabungan tersebut yang hanya sibuk menegakkan benang basah apabila mempertahankan Najib Razak.
“Dengan kerajaan Pakatan Harapan, kita akan memasuki era politik matang dan ini bererti tiada lagi tempat untuk Umno,” sambung Mahfuz.
Mengulas keyakinan Zahid Hamidi kononnya kerajaan Pakatan Harapan tidak akan bertahan sehingga tamat penggal dan akan digantikan oleh BN, Mahfuz menempelak kenyataan tersebut sebangai mengarut.
“Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi bahawa BN mampu mengambil-alih kuasa di Putrajaya sebelum PRU 15 adalah satu angan-angan kosong.
“Koalisi BN kini begitu lemah apabila beberapa parti dan dua Ahli Parlimen Umno telah meninggalkan BN. Justeru, Umno sekarang tidak bermaya sama sekali,” katanya.