Skandal TRX: ‘Najib, jangan pura-pura tidak tahu’



Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terus dibidas apabila mendakwa tidak wujud penyelewengan dana untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) oleh 1MDB selaku syarikat utama TRX City Sdn Bhd.
“Dia (Najib) tidak boleh dari satu segi, berpura-pura tidak tahu dan menyalahkan pengarah atau pengurusan syarikat, tetapi pada masa yang sama menunjukkan kefahaman mengenai urusniaga yang berlaku dalam 1MDB, meskipun mengelirukan dan melakukan penipuan,” kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dalam kenyataan hari ini.
Merujuk kepada pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu, kerajaan telah memutuskan untuk menyuntik RM2.8 bilion bagi projek TRX kerana pengabaian terhadap projek tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM3.51 bilion.
Najib bagaimanapun mendakwa kenyataan Guan Eng berhubung projek TRX itu kononnya “separuh benar dan pembohongan”.
Menurut Tony, Najib tidak perlu berdolak-dalik sebaliknya menjelaskan pendedahan terkini Kementerian Kewangan bahawa RM3.067 juta disalahgunakan bagi tujuan lain memandangkan beliau pernah mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB.
“Jika wang dalam TRXC pernah digunakan untuk projek-projeknya dengan cara telus dan bertanggungjawab, syarikat itu tidak akan memerlukan RM2.8 bilion pembiayaan tambahan dari Kementerian Kewangan,” katanya.

No comments: