Harga petrol naik jika BN menang – LGE
Harga petrol dan diesel mungkin akan dinaikkan lebih tinggi sekiranya BN kekal mentadbir negara ini pada PRU14 nanti.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku kerana harga bahan api itu tidak berubah untuk tempoh lima minggu berturut-turut.
“Kita tahu harga minyak setiap minggu akan berubah. Selalu naik, tapi lima minggu ini sangat bagus, tak naik langsung.
“Kenapa tak naik? Sebab ada pilihan raya. Tapi jangan-jangan lepas BN menang, harga minyak pun akan naik,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan ribuan pengunjung yang hadir pada Ceramah Mega Pakatan Harapan di Perkampungan Juru.
Menurutnya, rakyat mampu mengelak kenaikan harga minyak itu berlaku sekiranya memenangkan Pakatan Harapan pada pilihan raya kali ini.
“Kalau kita berani ubah, baru harga minyak tak naik. Ingat baik-baik! Apabila BN naik, harga minyak pun naik. Harga minyak kalau nak turun, BN kena turun,” katanya.