Hadi bayang Pas – BN bentuk kerajaan campuran
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata adalah “sesuatu yang tidak pelik” jika PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan campuran pada pilihan raya umum.
Bagaimanapun, kata beliau BN perlu memenuhi beberapa syarat sebelum kerjasama itu boleh dilaksanakan.
“Memang tidak pelik jika PAS bekerjasama dengan BN tetapi perlu mengikut syarat kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah bersama calon PAS Parlimen Titiwangsa Mohamad Noor Mohamad hari ini,
“Terpulang kepada BN untuk bersetuju atau tidak tetapi kami akan kemukakan syaratnya nanti,” katanya.
Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan syarat itu apabila ditanya pemberita.
Beliau berkata langkah untuk menjalin kerjasama itu dizahirkan daripada keyakinan PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya 60 atau lebih daripada 160 kerusi yang ditandingi parti tersebut pada PRU14 ini.
“Kami harap untuk dapat ‘simple majority’ (majoriti mudah). Kalau dapat lebih, lagi bagus, boleh jadi ‘kingmaker’ (penentu) dan pihak lain boleh dengar syarat kami jika ingin jalin kerjasama,” katanya.