‘Sonang jo, semua undi pembangkang menteri hilang kerja’
Seorang wartawan veteran mencadangkan satu cara tersendiri untuk kakitangan awam yang ingin mengundi pembangkang namun bimbang terjejas jawatan masing-masing.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata beliau mendapat tahu ada menteri yang memberi amaran kepada kakitangan awam yang mengundi pembangkang mungkin “kehilangan kerja”.
“Jadi bagaimana nak undi pembangkang kalau begitu?” katanya dalam kemas kini di Facebook petang ini.
Justeru, kata Mustapha, ada cara yang mudah boleh diambil kakitangan awam berkenaan.
“Sonang jo (senang saja). Semua orang undi pembangkang. Menteri tu yang hilang kerja nanti,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.
Semalam Bernama melaporkan, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi peringatan kepada guru di negara ini supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.
Kata Mahdzir, sebagai warga kerja kerajaan, mereka terikat dengan peraturan perkhidmatan awam tertentu, terutamanya berhubung hal yang bertentangan dengan dasar kerajaan.
Anggota parlimen Padang Terap dan bekas menteri besar Kedah itu juga menyatakan, jumlah pendidik yang menyokong kerajaan tidak ramai.
Namun katanya kecenderungan mereka menunjukkan politik kebencian perlu diberi peringatan agar tidak berterusan.
“Walaupun ada dalam kalangan pendidik yang menyertai parti politik pembangkang, mereka perlu fine tune dan meletakkan buffer zone antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan antikerajaan,” katanya.
Kementerian kata Mahdzir, tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat sebaliknya bertindak secara profesional selaku penjawat awam.
Untuk rekod pada 3 Okt lalu Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap dengan penuh semangat di depan guru di Presint 14 Putrajaya.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata Umno menyambut baik guru yang ingin aktif dalam politik, termasuk menjadi ketua bahagian, atau bertanding dalam mana-mana jawatan.
“Jadi saya merayulah semua guru-guru yang comel, come, come, come (mari, mari, mari)… tolong saya. Boleh jadi AJK bahagian, boleh jadi ketua cawangan, boleh jadi setiausaha bahagian,” katanya.
Malaysia bakal mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi, atau selewat-lewatnya Ogos ini.
Menurut Mustapha Kamil penjawat awam boleh mencuba kaedah yang dicadangkannya itu pada PRU akan datang.
“Cubalah jika tak percaya,” katanya.