Gagal daftar PH, pilihan B guna logo parti dikenali
Kegagalan mendaftarkan Pakatan Harapan (PH) ketika tempoh hanya 3 bulan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14 membimbangkan pemimpin tertinggi parti-parti komponen, terutama Bersatu dan Amanah.
Kedua-dua parti baharu itu amat mengharapkan penggunaan logo yang sama sebagaimana BN untuk kesemua peserta PRU dalam gabungan PH.
Bagi ADUN Teja, Chang Lih Kang, hal itu akan sedikit menyulitkan usaha kempen PH di Perak malah di seluruh negara. Namun, katanya, kegagalan PH menggunakan logo bersama bukanlah penghalang yang besar.
“Ini sedikit membimbangkan kami kerana kalau semua parti-parti dalam koalisi Pakatan menggunakan satu logo yang sama, ia lebih mudah untuk mendapat sokongan rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar dan kampung.
“Penggunaan satu logo yang sama juga memberi imej semua parti-parti komponen PH mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama,” kata ahli politik PKR Perak itu kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, menurutnya pelan B mungkin dilaksanakan, iaitu menggunakan logo parti yang telah dikenali agar lebih mudah berkempen kepada pengundi.
“Pemimpin PH memang menjangka pendaftaran koalisi akan berdepan dengan masalah.
“Oleh itu, ada desas-desus mungkin logo PKR akan digunakan oleh semua parti komponen Pakatan,” katanya.
Beliau berkata lagi, ramai pengundi terutamanya penduduk di bandar kecil dan kampung ‘tidak berapa kenal’ logo parti Amanah dan Bersatu. Dengan penggunaan logo PKR yang dikenali ramai maka akan dapat membantu PH memperolehi undi. Tetapi isu itu masih dalam proses perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.
“Apa yang penting sekarang ialah kami sedang bekerja bertungkus-lumus memberi maklumat mengenai harga barang dan kos sara hidup dalam zaman pentadbiran PM Najib Razak (berbanding dengan era Tun Dr Mahathir) untuk menunjukkan kepada rakyat umum bahawa rakyat semakin dibebani sejak Najib menjadi PM.
“Walaupun ada BR1M, namun harga barang yang meningkat hari demi hari telah melenyapkan wang BR1M itu,” jelas Chang.
Selain isu kos sara hidup, katanya, pemimpin-pemimpin PH juga sedang berusaha memberitahu rakyat peranan PAS dalam PRU14 hanyalah untuk membantu BN menang lebih banyak kerusi kerana PAS tidak bersama PH.
Pas katanya, mahu menggunakan sokongan di kawasan-kawasan kampung yang akan menjejaskan peluang kemenangan PH di kerusi-kerusi di mana perbezaan majoriti adalah tipis.