Peluang PH kuasai Putrajaya lebih cerah dengan PPBM dan Tun Mahathir


Dr Dzulkefly Ahmad
Pakatan Harapan mempunyai peluang cerah untuk menggantikan BN di Putrajaya dengan kehadiran Parti Bersatu Bumiputera Malaysia (PPBM) manakala Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memecah kebuntuan menjelaskan isu-isu kritikal negara seperti 1MDB, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam wawancara dengan akhbar dwimingguan The Edge, Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkifli Ahmad berkata, kehadiran PPBM dalam pakatan pembangkang menjadi 'pemutus litar' (circuit breaker) terhadap isu-isu yang dahulunya dianggap sebagai 'isu pembangkang'.
"Maklumat yang dahulunya tidak dipercayai rakyat kerana datang daripada pembangkang kini mudah dipercayai apabila Mahathir dan PPBM di dalam pasukan kami.
"1MDB sebagai contoh bukan lagi menjadi mesej pembangkang, ia telah menjadi mesej rakyat. Mereka bukanlah memahami sangat mesej itu, tetapi apabila ianya datang daripada seseorang yang telah menerajui negara selama 22 tahun, mesej itu - termasuk kos sara hidup dan isu-isu ekonomi menjadi begitu kuat, mudah dan boleh difahami oleh semua," katanya.
Menurut Dr Dzulkefly, rakyat kini dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi dan khuatir tentang gaji mereka berbanding tekanan inflasi.
Kejatuhan nilai ringgit sehingga 22 peratus dalam tempoh dua tahun, katanya menambah buruk keadaan apatah lagi negara banyak mengimport barangan makanan termasuk barang keperluan asas.
"Berhubung isu kaum dan agama, mengapa jurangnya semakin dalam? Mengapa ia diperbesarkan? Kita mesti menyelesaikannya secara berhadapan dan tidak menyapunya di bawah tikar. Adalah mengecewakan apabila Umno dan Pas menggunakan isu kaum dan agama," ujarnya.

No comments: