Peniaga percaya cukai GST naik 2% selepas PRU 14
Tindakan kerajaan menangguhkan pengenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas 60 jenis barangan beberapa hari lalu dianggap amaran kepada rakyat Malaysia bahawa cukai itu akan dilaksanakan ke atas lebih banyak barangan dan peratusannya bakal naik selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Para peniaga mula kurang yakin dengan pengumuman kerajaan yang mempersalahkan pihak kastam kerana mengumumkan cukai berkenaan tanpa kebenaran kabinet, sedangkan kelulusan Dewan Rakyat telah pun diperolehi pada sesi parlimen Mac lalu.
“Desas-desus tentang kenaikan kadar GST nampaknya berasas. Oleh kerana PRU14 belum diadakan maka kadar GST tidak boleh dinaikkan kerana BN takut hilang undi.
“Oleh itu, cubaan dibuat bagi mengeluarkan lebih banyak barangan dari senarai sifar GST,” kata Eric Tay, 41 tahun, pemilik sebuah restoran makanan ala Asia di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau yang mengucapkan penghargaan kepada Pakatan Harapan (PH) dan netizen yang kuat membantah tindakan itu bagaimanapun runsing kemungkinan kerajaan akan melaksanakan GST ke atas 60 barangan pada beberapa bulan akan datang.
“Akibat dari bantahan rakyat dan takut kalah PRU14, perlaksanaan tersebut telah ditarik balik dan ini berita baik untuk restoran saya yang menghidangkan berbagai jenis masakan sayur dalam sajian kami setiap hari.
“Memang kerajaan dalam hal ini melampaui batas apabila terlalu banyak jenis sayur yang akan dikenakan GST. Tidakkah kerajaan tahu bahawa golongan miskin sudah amat dibebani pada masa sekarang?” tanya Eric.
Beliau yang menyokong PH berharap gabungan itu akan menyedarkan rakyat mengenai kenaikan kadar GST yang beliau pasti akan dilaksanakan selepas PRU14.
“PRU14 pasti tahun ini kerana sudah terbukti kantung negara perlukan dana dan justeru itu, selepas PRU14, GST kadar baru boleh dilaksanakan pada 1 Januari 2018.
“Pada tahun hadapan saya menjangka masyarakat Cina kena belanja lebih untuk Tahun Baru Cina yang akan dirayakan pada pertengahan bulan Februari.
“Pada tahun 2015, apabila GST dilaksanakan pada 1 April, masyarakat Cina telah ‘escape’ (tidak membayar) GST untuk perbelanjaan Tahun Baru Cina pada tahun itu. Kali ini mereka tidak boleh ‘escape’ lagi,” ujar Eric berseloroh.
Beliau juga memberitahu ramai rakan usahawan dan pemilik perniagaan percaya bahawa kadar GST akan dinaikkan sebanyak 2% iaitu kenaikan dari 6% kepada 8% dan menggesa pemimpin PH supaya memberi tumpuan utama kepada topik GST dalam kempen PRU14 sebab topik ini ialah ‘senjata kuat’ yang boleh digunakan untuk menentang BN.
“Isu GST mudah difahami dan ia menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Saya yakin ia akan berjaya meraih undi untuk PH kalau PH memberitahu rakyat GST akan dimansuhkan jika Pakatan menerajui kerajaan pusat,” katanya lagi