Amanah tanya Pas, nak bertanding atau nak gelar-menggelar?


Datuk Dr Mujahid Yusuf RawaDatuk Dr Mujahid Yusuf RawaParti Amanah Negara (Amanah) mempersoal keseriusan Pas bertanding pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) ini mandangkan pemimpin parti itu dilihat lebih berminat menggunakan medan kempen untuk mengejek Amanah.
"Betul ke Pas nak selamatkan negara. Atau hanya duk kutuk orang, panggil orang Pan?
"Jadi juri Pencetus Ummah, (tapi) panggil orang Mat Sabun. Kata ustaz padahal bukan ustaz pun," kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Bercakap pada ceramah kelompok di Senggang, Kuala Kangsar malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata Amanah tidak berminat dan tidak mahu melayan sikap Pas yang disifatkannya sebagai "kebudak-budakan".
Sebaliknya kata Mujahid, Amanah mahu mengambil peluang pilihan raya kecil ini untuk melawan rasuah, sikap tidak amanah dan pentadbiran tiris oleh kerajaan BN.
"PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah untuk menolak BN dan siapa sahaja yang bersekongkol dengannya atau yang diam dengan kebejatan yang dilakukan.
"Ini adalah pilihan raya untuk nak selamatkan negara. Kita kena tanya parti mana yang betul-betul nak selamatkan negara," katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada insiden seorang pendakwah Pas yang didakwa memanggil Presiden Amanah dengan "Mat Sabun" ketika berucap kepada penyokong parti itu pada hari penamaan calon Ahad lalu.

Sementara itu, mengulas calon Pakatan Harapan bagi PRK Kuala Kangsar, Mujahid berkata Dr Ahmad Termizi Ramli adalah calon Melayu terbaik yang dikemukakan Amanah untuk masyarakat di sini.
"Apa Amanah ni tidak Melayu ke? Kita tak bawak keris, tak bersilat, tak pakai tanjak, tak potong pulut kuning dengan keris panjang, kita bukan Melayu ke?
"Calon kita ini belajar dipelbagai universiti dan pakar nuklear fizik. Bukan calang-calang orang," katanya.

No comments: