Tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar memasuki hari ke empat hari ini, namun suhu kempen setakat ini masih ditakuk suam-suam kuku.
Berdasar pengamatan Bernama, pendekatan berkempen lebih tertumpu kepada Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibantu sekutu-sekutunya DAP dan PKR, namun sambutan yang diberi masih dingin, walaupun disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Seperti PRK Kuala Besut pada 2013, yang juga berlangsung pada bulan puasa, 'politik Ramadan' di sini turut menyaksikan kesemua tiga calon memilih pendekatan secara bersemuka dengan pengundi berbanding kempen terbuka secara besar-besaran.
Atas faktor itu, setakat ini masih sukar untuk melihat ke arah mana condongnya sokongan pengundi Sungai Besar antara tiga calon bertanding iaitu Budiman Mohd Zohdi (Barisan Nasional), Dr Abdul Rani Osman (PAS) atau pun Azhar Abdul Shukur (Amanah).
Secara dasarnya, walaupun berdepan pertandingan tiga penjuru, namun, PRK Sungai Besar sebenarnya lebih kepada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Amanah.
PAS pula setakat ini, tidak begitu menonjol, dan lebih banyak menumpukan kempen kepada aktiviti keagamaan, malah gerak kerja calonnya juga boleh dikatakan 'misteri' bagi kebanyakan media yang membuat liputan kerana kesukaran mendapatkan jadual pergerakan Dr Abdul Rani.
Antara Budiman dan ustaz Azhar, pengundi Sungai Besar mempunyai pilihan sama ada untuk memilih wakil rakyat yang personalitinya sudah dikenali, atau calon yang bergantung kepada populariti parti semata-mata.
Biarpun sama-sama anak jati Sungai Besar, Azhar yang dikatakan calon terbaik Amanah, tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian untuk dijadikan bukti kemampuannya berkhidmat kepada masyarakat daerah itu, berbanding Budiman yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat Sungai Panjang.
Sebagai parti baharu, di tambah kemelutnya dengan PAS, Amanah juga banyak bergantung kepada populariti DAP untuk memastikan mereka tidak kecundang pada cubaan pertama bertanding dalam pilihan raya.
Perkara itu, diakui sendiri oleh Kit Siang yang mengakui Amanah berdepan laluan sukar di Sungai Besar, manakala Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula mengakui memerlukan bantuan parti sekutu untuk berjaya.
Boleh dikatakan, PRK Sungai Besar yang diadakan serentak dengan PKR Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini, merupakan medan untuk Amanah menguji populariti parti itu selepas berpecah daripada PAS, selain cuba membuktikan mereka mampu menggantikan kedudukan PAS dalam Pakatan Harapan.
BN di Sungai Besar pula dilihat berada dalam kedudukan lebih selesa pada PRK ini yang didorong faktor calon, namun jentera parti termasuk parti-parti komponen perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan milik BN.
MCA dan Gerakan sejak awal telah memainkan peranan masing-masing untuk menarik sokongan pengundi Cina, khususnya dalam DUN Sekinchan yang dilabel sebagai 'kawasan hitam' bagi BN.
Personaliti Budiman yang sudah dikenali pengundi kawasan itu memudahkan kerja jentera parti, apabila setiap kali cubaan untuk mendekati pengundi mendapat respons yang lebih positif berbanding semasa Pilihan Raya Umum 2013.
Namun, harapan cerah BN itu mungkin juga boleh hancur sekiranya ada unsur sabotaj dalam parti seperti yang diandaikan sesetengah pemerhati politik.
PAS pula, walau kini dilihat sebagai 'underdog' di Sungai Besar, namun tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga boleh memberi elemen kejutan, memandangkan kini sokongan pengundi Melayu yang berpecah tiga antara BN, PAS dan Amanah.
Berdasar perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komposisi pengundi di Sungai Besar merangkumi 67.18 peratus pengundi Melayu, 31 peratus pengundi Cina dan masing-masing 1.91 peratus dan 0.23 peratus terdiri daripada masyarakat India dan lain-lain kaum.
PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas, yang turut mengorbankan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Setakat ini, walaupun cuaca panas membahang, suasana kempen di Sungai Besar dilihat berjalan agak tenang dengan perang bendera dan poster parti-parti bertanding juga tidaklah semeriah PRK lain yang pernah diadakan sebelum ini.
Apa pun situasi semasa, perjalanan calon-calon masih jauh dan siapa calon pilihan 42,655 pengundi berdaftar di Sungai Besar akan kekal misteri sehinggalah pada hari pengundian.