Kerjasama PKR – Pas: Penyokong PH marah cadangan Azmin
Ketegasan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkeras mahukan Pas terus diberi peluang untuk bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH) menimbulkan tanda tanya ke manakah hala tuju PH seterusnya.
Penyokong Pakatan Rakyat yang kini telah tamat riwayatnya memberi amaran agar Pas tidak diberi tempat dengan mudah dalam PH kerana polisi parti itu yang flip flop.
Seorang penyokong PH Gopalsamy, 46 tahun, yang menyokong Pakatan sejak dua pilihan raya umum lalu berkata semua parti komponen dalam PH seharusnya jangan bekerjasama dengan PAS.
“Hujah saya nanti kita akan kena tikam dari belakang sekali lagi, seperti dalam isu calon Menteri Besar Selangor tahun lalu dan juga isu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Damansara pada Pilihan raya Umum (PRU) Ke-13 dua tahun yang lalu,
“Adakah PKR, DAP dan Amanah patut bekerjasama dengan PAS sekali lagi?” katanya yang bekerja sebagai penjual kenderaan pacuan empat roda.
Seorang lagi, Puan Chan, 62 tahun, berpendapat PAS hari ini bukanlah parti yang sama seperti era almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
Semua 10 penyokong PH dari kalangan masyarakat Cina dan 5 masyarakat India yang diwawancara wartawan Suara pakatan daily bertekad untuk tidak mahu mengundi PAS dalam PRU ke 14.
“Sudah cukup. PAS sudah menyindir Pakatan Harapan. Sudah terang dan jelas parti itu menyokong pihak musuh. Saya tidak akan berharap pada PAS lagi,” kata Karen Lam, seorang penjual insurans berusia 47 tahun.
Rata-rata semua yang diwawancara berasa PAS telah secara terbuka berpihak kepada musuh Umno – BN.
Tambah Karen, “Walaupun PAS sebahagian dari pihak pembangkang tetapi kelakuan mereka seolah-olah anti-pembangkang dan hubungan tegang mereka dengan DAP dan Amanah melemahkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan yang baru dibentuk”.