Tanpa PAS Tak Boleh Tawan Kedah? AMANAH Sanggah AMK & PAS

Pemuda Amanah sanggah AMK dan PAS Kedah

Tampil membidas dakwaan yang dilihat bersifat keanak-anakkan, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menyanggah dakwaan kononnya PAS mendominasi lanskap siasah di negeri utara tanah air itu sebagai tidak berpaksi kepada realiti politik sebenar.

Ketuanya, Asmirul Anuar Aris berkata, PAS hanya dapat memerintah Kedah selepas mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk sokongan masyarakat Tionghoa apabila berada dalam Pakatan Rakyat.



“Sebagai contoh dalam PRU (pilihan raya umum) 1999 ketika 65 peratus undi Melayu berpihak kepada pembangkang, namun PAS hanya mampu mendapat 12 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen,” ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas dakwaan Ketua AMK Kedah kononnya PAS mendapat sokongan daripada ribuan pondok di Kedah, Asmirul berkata, PAS kalah di kawasan pondok yang majoritinya pengundi Melayu seperti di Parlimen Sik.

“PAS kalah di kedua-dua Dun dan Parlimen yang ditandingi iaitu Padang Terap, Jerlun dan juga Baling juga begitu di mana PAS kalah di Dun yang majoritinya terdapat pondok dan didiami pengundi Melayu.

“Kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua pimpinan sahabat Pemuda parti dari PAS dan dan AMK Kedah tersebut adalah tidak berpijak kepada hakikat yang nyata,” tegasnya yang mengakui terpanggil untuk memberi reaksi apabila ‘sahabat dari sebuah parti yang menganggap mereka dominan menyahut’ dakwaan pihak AMK Kedah itu.

Menyifatkan penyertaan ramai golongan muda ke dalam Amanah biarpun parti itu belum tiga bulan usia penubuhannya, beliau berkata, sambutan tersebut lahir daripada desakan dan kehendak rakyat yang resah dengan kemelut serta kepincangan tata kelola negara.

“Secara hakikatnya, PAS tidak serius dalam menumbangkan kerajaan Umno-BN kerana telah menolak pelawaan untuk berada bersama-sama dengan Pakatan Harapan sedangkan hakikat politik Malaysia Umno-BN tidak pernah lagi tewas apabila parti-parti pembangkang tidak bersama,” bidasnya.

Sehubungan itu, Asmirul berkata pihaknya komited memperkukuhkan Pakatan Harapan yang telah dibentuk di peringkat nasional mahupun di negeri dengan pelbagai aktiviti secara bersama. -malaysiadateline.com


Putus dengan PAS jangan berangan nak perintah Kedah, kata perwakilan

Pemuda PKR Kedah menggesa agar parti itu terus bekerjasama dengan PAS.

Menurut Perwakilan Pemuda PKR Kedah Mohd Ridhwan Mohd Razali, sekiranya putus hubungan dengan PAS, maka peluang untuk menawan negeri jelapang padi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi semakin tipis.

"Lanskap politik Kedah cukup berbeza, tidak sama seperti Pulau Pinang dan Selangor. Kalau putus dengan parti PAS, jangan berangan kita hendak perintah negeri Kedah.

"Berapa ribu pondok di Kedah, kebanyakannya ahli PAS. Mereka semua pengundi PAS," Ridhwan memberitahu ahli parti di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Meskipun begitu, Ridhwan menegas sikap hormat-menghormati perlu diteruskan di antara kesemua parti terutamanya PAS, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Soal hormat, kita hormat adik bongsu kita (Amanah), parti sahabat kita (PAS) tetapi adik bongsu kena dengar juga cakap abang long (PKR)," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan ucapan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang menggesa agar kerjasama dikukuhkan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

"Saya setuju dengan ucapan timbalan presiden tadi. Biarlah PKR tentukan hala tuju PKR. Itu jelas. Ada sesetengah pimpinan tu berserah. Macam harum manis.

"Tetapi realitinya PKR kena tentu masa depan parti sendiri, bukannya orang lain.

"Ini belum sebut lagi soal kerusi, isu itu lambat lagi, tetapi ia akan berlaku sekiranya pimpinan kita, pimpinan Pemuda PKR memandang remeh hal ini," katanya yang turut menyifatkan agihan kerusi pada masa akan datang akan menjadi isu serius. 
-TMI

No comments: