Oleh: Al Husseyn
Ramadhan kareem buat sahabat...
Ramadhan bulan 'ibadah.
Bulan rahmat, juga bulan jihad. Termasuk dlm jihad yang besar untuk
dilakukan adalah mentarbiyyah diri bercakap benar dan 'adil dalam
situasi kerosakan manusia sedang berleluasa. in shaa Allah diteruskan.
Firman Allah dalam Al-Ghafir ayat 83;
فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ
رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَرِحُوا بِمَا عِندَهُم مِّنَ الْعِلْمِ
وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
"Pada masa mereka
didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa
keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka
mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada
pada mereka (yang mengenai keduniaan semata-mata); dan dengan yang
demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu".
Ikhwah-ahawat;
Merujuk pada pelbagai
responses dalam beberapa tulisan lepas, berkaitan teguran pada PAS dalam
isu kronologi perlanggaran janji, ayat di atas memberikan peringatan
pada kita semua tentang response yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW
apabila kaumnya sendiri mempermainkan sahaja keterangan yang dibawakan
oleh Rasulullah SAW tersebut, dan Allah menjanjikan amaran yang sangat
pedih atas tindakan sedemikian.
Sahabat yang dirahmati,
Ada yang bertanya, mengapa saya tidak serang DAP/PKR?
Saya sebut,
tulisan-tulisan saya tersebut sebenarnya untuk saya fahamkan
sahabat-sahabat saya sendiri, bahawa teguran dan muhasabah secara keras
(qaulan syadida) adalah perlu untuk menyentapkan ramai yang sedang dalam
kebingungan. Saya tidak minat untuk buat post-mortem bagi pihak lain.
Bahkan saya tak berminat pun untuk ambil contoh-contoh kesalahan yang
dilakukan oleh pihak lain. Sebab "concern" saya hanyalah pada kesalahan
yang dimulakan sendiri oleh kita, kumpulan Islam yang sepatutnya
menunjukkan qudwah, akhlaq dan disiplin janji yang jauh lebih mulia
berbanding kumpulan lain.
Dan keduanya saya
sangat malu (dan marah) apabila ianya dilakukan atas nama "Gerakan
Islam" yang sepatutnya membawa rahmat dan penyelesaian pada pelbagai
permasalahan negara (al-Islamu huwal hal).
Ikhwah- akhawat;
Saya cuba berikan komen atas LIMA response utama yang diterima,
Antaranya;
[PERTAMA] Ramai kata
tulisan saya itu adalah FITNAH, "fiction" rekaan saya semata, sebab
mereka tidak pernah tahu pun mengenainya, bahkan tiada bukti yang saya
lampirkan. Katanya lagi, jika benar sudah pasti kalangan pimpinan itu
sendiri telah membetulkan kesalahan Presiden PAS tersebut.
Jawapanya saya; itulah
ciri penta'asub PAS (indoctrinated) atau pemuja susuk tertentu dalam
PAS. Mereka dengan mudah menolak apa pun kesalahan oleh kumpulan
sendiri, dan cuba meletakkan kesalahan pada kumpulan lain semata. Itulah
maksud hadith berkaitan 'asobiyyah yang diharamkan tersebut;
أن تُعِينَ قَومَك على ظُلْمٍ.
Saya ulangi, tidakkah semua kronologi berikut adalah satu kesalahan dan
pengkhianatan jika dilakukan oleh sesiapa pun, walau oleh kumpulan
Islam?
(1) PAS sejak 2012 pernah menulis surat rasmi mendesak PKR tukarkan TSKI dari jawatan MB. Masih tak percaya?
(2) Hakikatnya, PAS dan
DAP memang bersetuju secara rasmi untuk membantu PRK Kajang dalam 2014,
walau ada ahli PAS dari negeri tertentu yang boikot. Tidak salahkah?
Juga isu Zaharudin Muhammad menabalkan kawan baiknya sebagai calon di
Kota Damansara, adakah ia bukan satu kesalahan PAS?
Seorang yg "naive" politik macam Ibrahim Ani tetap mahu nafikan walau sejelas itu pengkhianatannya?
(3) Selepas kegagalan
Kajang Move, PKR maklumkan secara rasmi untuk tukar TSKI, yang
dipersetujui DAP. Tiba-tiba PAS buat u-turn dengan membantahnya.
Hinggakan Majlis Syura Ulamak (MSU) masuk campur tidak membenarkan TSKI
ditukar selagi tidak disabit oleh "mahkamah atau SPRM". Lihat, ironi
sungguh apabila PAS sudah tiba-tiba mempercayai sistem mahkamah dan
badan pencegah rasuah yg dibantah sejak sekian lama [6 Ogos 2014].
4) Kalangan pimpinan PR
semua maklum, sikap Presiden PAS yang kerap tidak hadir Mesyuarat
Presiden PR. Tapi sudah kerap kali melanggar keputusan yang sudah
dipersetujui secara bersama dlm Mesyuarat Presiden PR yang turut
dihadiri oleh wakil PAS sendiri. Tidak salahkah tindakan melanggar
keputusan tersebut?
(5) PAS terkenal dengan
sikap u-turn. Walau 2 nama calon MB dah dipersetujui oleh Mesyuarat PAS,
dan dibawa ke Mesyuarat PR yang memilih hanya satu nama, tapi akhirnya
PAS sendiri langgar keputusan tersebut dengan menghantar nama lain tanpa
kelulusan oleh mana-mana mesyuarat pun. MSU pula berkata, kuasa
Presiden PAS adalah "veto"? Soalan lanjutnya, perlukah "veto" untuk
khianati janji?
(6) PAS sendiri
bersungguh menolak pencalonan Presiden PKR sebagai MB Selangor, atas
alasan beliau seorang wanita. Akhirnya bila didesak, PAS kata dari segi
hukum dibenarkan pula.
(7) PAS sendiri pernah
mengecam Presiden PKR sebagai tidak layak menjadi MB Selangor, kerana
beliau gagal menjawab soalan Parlimen dan DUN. Tidakkah ahli PKR akan
duduk diam dengan kecaman sedemikian?
(8) Bahkan PAS sendiri
terlibat mengajak Azmin khianati PKR dgn menawarkannya jawatan MB yg
akan disokong bersama oleh PAS dan dan lain-lain, walau jelas itu
melanggar semangat dan janji PR. Ramai yang tidak percaya tindakan PAS
itu, tetapi perkara pahit itulah diakui sendiri oleh Presiden PAS dalam
satu mesyuarat. Akhirnya tidak ada seorang pun yang sanggup menyokong
tindakan Presiden tersebut.
(9) Dan lagi sekali, PAS
sanggup khianati perjanjian dengan mencalonkan beberapa nama ADUN PAS
sendiri sebagai calon MB. Walhal dalam semua perjanjian lisan dan
bertulis, PAS sudah bersetuju bahawa jawatan MB tersebut hanya untuk PKR
sahaja.
MAKA;
Adakah semua yang saya tulis itu hanyalah satu FITNAH, atau kebenaran yang pahit yang antum sendiri cuba nafikan?
Atau ia hanya menjadi
FITNAH kerana dilihat melibatkan tindakan oleh Presiden Parti Islam itu
sahaja? Maka ia mestikah terus dirahsiakan dari menjadi makluman umum?
Tidak malukah,
Dari paling kurang 9
perkara di atas, masih ada lagi yang mahu berkata bahawa "PAS setia pada
janji", tapi DAP/PKR lah yang mengkhianatinya?
Apa yang perlu kita
fikirkan adalah, mungkinkah segala keputusan DAP memutuskan hubungan
dengan PAS di Sarawak dan Sabah, tindakan DAP putuskan memutuskan
hubungan dengan Presiden PAS tetapi meneruskan dengan PAS, etc itu
adalah BALASAN pada sikap kita sendiri yang tidak amanah memegang pada
perjanjian yang kita sendiri meterainya.
Tepuk dada,
Tanyalah jiwa yang benar-benar beriman wahai sahabat...
[KEDUA]
Pemilihan qiyadah
adalah amanah, dan wajiblah berdasarkan merit dan prestasi qawiyyun
amin, bukan mengikut "arahan" Dewan Ulamak atau MSU untuk tidak pemimpin
itu dan ini yang ditonjolkan sebagai pengkhianat Islam. Naiknya
nama-nama seperti Ali Akhbar Gulasan, Mokhtar Senik, Razman, Iskandar
Samad, Zaharuddin Mohamad, Zuhdi, Sanusi Mohd Noor, Norazli Musa, yang
sememangnya tidak dikenali, atau hanya dikenali dengan tindakan-tindakan
negatif dan buruk dalam PAS, namun apabila nama mereka dimasukkan ke
dalam "chai bersama Dewan Ulamak", kesemua mereka berbangga dengan
kemenangan yang diterima, dan bahawa kononnya "Allah telah betulkan
semula landasan perjuangan ini".
[KETIGA]
Seterusnya, saya lihat,
adalah masih gagal faham antara janji dan walak. Bila ditanya mengapa
nak kekalkan TSKI? Jawapan diberikan adalah kerana MSU arahkan kekalkan
TSKI. Mereka tidak faham, bahawa MSU itu "tidak terlibat" pun dalam
perjanjian bersama PKR/DAP. Tetapi disebabkan walak yang membinasakan
mereka, elemen utama iaitu "perjanjian" dalam PR dengan mudah sahaja
diketepikan dan diabaikan. Ini sangat serius.
[KEEMPAT]
Isu lain adalah, ramai yang melihat tahaaluf dengan bukan Islam itu
merugikan Islam, bukan membantu dakwah Islam. Mereka melihat Islam rugi
kerana tak mampu "melaksanakan Islam" disebabkan mahu menjaga perjanjian
dgn DAP/PKR.
Tetapi mereka gagal faham betapa banyak sekali manfaat dakwah lain yang
PAS terima, yang tidak pernah dirasai sejak 61 tahun lepas di medan
dakwah M'sia hasil dari tahaaluf tersebut... ( in shaa Allah, saya akan bincangkan tajuk "kerugian yang dirasai oleh sahabat" dalam peristiwa Hudhaibiyyah kelak )
[KELIMA - yang paling serius];
Dan response lain, tapi
yang paling merisaukan saya adalah lahirnya para agamawan yang "tidak
kisah berbohong" atas nama agama demi menegakkan sesuatu kebathilan yang
sudah dilakukan.
Saya masih terkejut,
Kenyataan beberapa
orang ustaz muda, termasuk Setiausaha Dewan Ulamak Selangor Muhammad
Najhan Shahir Halim (Abang kepada Ketua Pemuda Selangor) tergamak
membohongi para pimpinan PAS Selangor bahawa hukum asal bertahaaluf
dengan DAP/PKR adalah "HARAM" secara asasnya. Bahkan beliau mengaitkan
itu adalah pendirian Majlis Syura Ulamak (MSU) yang sudah diputuskan
hukum "haram" itu sejak 7 tahun lepas. Saya terkejut dengan pendustaan
sedemikian. Cukup parah sikap begitu untuk Islam.
Kononnya dikatakan adalah begini;
Demi membenarkan
tindakan untuk serahkan keputusan untuk "putus hubungan dgn DAP" pada
kuasa MSU, dikatakan MSU sahaja yang layak menentukan hukum jika mahu
diteruskan dengan tahaaluf atau tidak. Dan MSU lah yang paling layak
untuk menggariskan syarat jika "pertukaran hukum dari haram kepada
harus" tersebut diperlukan semula. Bukan muktamar.
Bagi saya itulah satu
pembohongan atas nama agama yang begitu dahsyat dilakukan oleh ustaz
muda tersebut, dengan menggariskan pelbagai ayat sebagai sandaran.
Beliau lupa, dalam
Ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sendiri pun telah menyebut bahawa
"saya tidak sangka mengapa pula usul putus hubungan dengan DAP itu tak
boleh dibahaskan oleh muktamar, mengapa pula kena dibahaskan secara
tertutup oleh MSU". Itulah keluhan oleh Ketua DUPP sendiri, yang
terpaksa akur dengan arahan Presiden PAS tersebut.
Isunya di sini adalah
jelas, walau semua memahami bahawa hukum tahaaluf tersebut adalah HARUS
di atas konsep mu'amalah yang harus secara prinsipnya selagi tiada
sesuatu hukum yang qat'ie yang mengharamkan. Bahkan hampir kesemua
ulamak kontemporari menyatakan sedemikian, dan menjawab pandangan
sebahagian ulamak silam, (terutama di Afrika dan Saudi) yang pernah
mengharamkannya berdasarkan pengharaman hubungan aqidah di dalam
peperangan.
Tetapi jelas beberapa
Ustaz tersebut menyatakannya haram, hanya kerana mahu menutup kesilapan
yang telah berlaku dalam muktamar tersebut.
Dalam isu yang sama, Allah mahu tunjukkan;
Apabila isu telah
menjadi serius, dan MSU didesak menetapkan hukuman untuk terus atau
putuskan hubungan dengan DAP, Mursyidul 'Am PAS terpaksa akhirnya
mengakui bahawa beliau tidak layak memutuskannya kerana beliau dan
sebahagian besar keanggotaan MSU pada masa ini masih belum pun dilantik
semula sejak tamat pada Mac 2015 lepas! Sekarang seolahnya semua mahu
berlepas tangan atas kerakusan "usul tergopoh" Dewan Ulamak.
Saya sisipkan kenyataan
rasmi MSU dalam isu tahaaluf yang boleh di kertas kerja tahaaluf siyasi
yang disediakan beberapa tahun lepas;
"PAS telah mengambil
dan memilih pendapat yang mengharuskan Tahaluf Siyasi berdasarkan
realiti dan waqi’ di Malaysia. Sememangnya tiada khilaf di kalangan yang
mengharuskan Tahaluf Siyasi, bahawa keharusan itu bukanlah satu
keharusan yang mutlak, tetapi ia adalah keharusan yang mempunyai
batas-batasnya yang tertentu" Rujuk Garis Panduan MSU; https://www.facebook.com/…/tahaluf-siyasi…/10150430494244876
Akhir sekali;
Dalam response ini yang
memberi pelbagai jawapan pada persoalan pembaca, saya berharap kaedah
"jawapan tegas" ini mampu memberikan kesedaran pada semua, bahawa sudah
terlalu banyak kaffarah Allah turunkan pada PAS apabila kepimpinan dan
ahlinya telah tidak lagi berakhlaq dan berqudwah dengan cara yang
diajarkan oleh Islam.
Dan natijah dari segala
sikap itu, saya tidak terkejut langsung, kelmarin 16 Jun 2015, apabila
diisytiharkan "Pakatan Rakyat" itu telah terbubar, lantaran sebahagian
besar adalah tindak rakus dan tidak amanahnya PAS itu sendiri, yang
menggunakan pendekatan "siku dan lutut" melebihi anugerah aqal dan
hikmah.