Shahbudin Hussein.
Kumpulan
profesional yang kalah dalam pemilihan Pas baru-baru ini barangkali
sudah "tawar hati" dan "putus kasih" terhadap parti itu. Berjuang dan
bersama-sama mengabdikan diri atas nama kecintaan terhadap Islam melalui
Pas tetapi akhirnya "cai" telah memisahkan mereka dengan kelompok agama
dalam parti tersebut.
Buat
pertama kali sejak kumpulan profesional bertapak kukuh dalam Pas yang
menjadikan sokongan diterima parti itu makin melebar bukan saja di
kalangan masyarakat Melayu tetapi juga bukan Islam, kumpulan itu
"dibersihkan" dan seolah-olah tidak diperlukan lagi.
Pas
hari ini menjadi seratus peratus dikuasai golongan yang dikenali
sebagai kumpulan ulama dan mereka yang pro ulama. Kumpulan profesional
semuanya kecundang dan tidak ubah mangsa pembersihan etnik secara total.
Lebih buruk kumpulan profesional dan progresif Islam ini juga digelar
"jebon" yang menggambarkan kebencian terhadap golongan itu.
Walaupun
masih berteka-teki dan belum membuat keputusan rasmi, kelompok
profesional ini secara umumnya boleh memilih sama ada menubuhkan sebuah
parti Melayu/Islam yang baru atau menyertai parti tajaan PasMa yang
sudah diumumkan penubuhannya sebelum ini.
Tiada
gunanya lagi mereka terus kekal dalam Pas kerana bukan saja perbezaan
lebih berpanjangan, malah akan membuatkan terus "sakit hati" dengan
kepimpinan barunya yang dilihat semakin tidak tentu hala tujunya antara
keinginan mahu menumbangkan BN atau menghulurkan "tongkat" kepada UMNO
yang semakin lemas.
PasMa
yang sebelum ini diura-urakan akan bertukar menjadi parti politik
bagaimanapun dikhabarkan akan kekal sebagai sebuah NGO yang bertujuan
memberi sokongan luaran kepada PR agar terus kekal sebagai pencabar
unggul untuk menyaingi dan menumbangkan BN.
Begitu
pun, sementara parti baru itu masih dalam penantian dan kumpulan
profesional juga belum menentukan hala tuju masa depan mereka secara
rasmi, persoalan yang paling banyak berlegar sebagai tanda tanya ialah
bolehkah parti itu bertahan lama?
Ramai
juga yang optimis parti baru itu nanti akan menerima nasib seperti
Berjasa dan Hamim yang hanya tinggal nama dan rujukan sejarah saja
akhirnya.
Rata-rata
bagaikan percaya bahawa Pas mempunyai badi tersendiri yang membuatkan
sesiapa saja bekas pemimpinnya yang keluar daripada parti itu tidak akan
dapat bertahan lama jika menubuhkan parti baru mirip sepertinya.
Selalunya Berjasa dan Hamimlah dijadikan contoh serta rujukannya.
Ada
yang berkata kononnya ia adalah disebabkan nama Islam yang ada padanya,
sementara yang lebih ekstrem pula menganggap hanya Pas parti yang
diredhai Tuhan untuk meneruskan kelangsungan perjuangan Islam di negara
ini.
Dahulu
pun, parti serpihan daripada UMNO juga dianggap tidak mampu bertahan
lama kerana kononnya perjuangan keramat untuk agama, bangsa dan negara
yang dibawa oleh UMNO tidak mampu diambil alih oleh mana-mana parti
selainnya.
Parti
Semangat 46 kerap dijadikan rujukan bagaimana tidak mampunya parti yang
ditubuhkan oleh bekas pemimpinnya daripada bertahan lama.
Tidak
kurang juga yang berkata, sesebuah parti mesti mempunyai ideologi untuk
diperjuangkan, lantaran itu dalam konteks masyarakat Melayu dan Islam
di negara ini, keperluannya sudah pun dipenuhi dengan adanya UMNO dan
Pas.
Tetapi
kemunculan PKR yang sebahagiannya adalah serpihan UMNO, bahkan tanpa
idelogi selain pada awalnya hanya untuk memperjuangkan nasib Anwar
Ibrahim dan kemudian melebar kepada memperjuangkan isu-isu semasa dan
ketidakadilan yang merata dalam masyarakat, namun kini mampu bertahan
dan menguasai Selangor membuktikan tiada badi dalam menentukan nyawa
sesebuah parti itu.
Selagi
ia mempejuangkan isu-isu yang dekat dan menjadi keperluan rakyat, ruang
dan peluang untuk terus bertapak sentiasa terbuka.
Kemampuan
PKR terus bertahan dan mendakap kuasa membuktikan badi itu sebenarnya
tidak ada atau kalau ada, ia sebenarnya sudah terhapus. Jika dalam UMNO,
badi itu sudah terhapus, tentulah tidak mustahil ia juga tiada lagi
untuk melindungi Pas.
Apatah
lagi dengan kelimpinan baru Pas daripada kumpulan ulama sepenuhnya
sekarang, keupayaan mereka memperjuangkan isu-isu rakyat yang melibatkan
pembongkaran rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, alam sekitar,
perundangan dan sebagainya pasti lebih terbatas.
Di
sinilah parti baru yang bercirikan Islam moden, progresif dan lebih
menyentuh hati nurani rakyat, boleh mengambil tempat dan memainkan
peranannya. (SH 19/06/2015)