Ust Ahmad Awang calon presiden PAS selepas Tuan Ibrahim?

OLWH: WEBMASTER



Akar umbi PAS kini mengalihkan tumpuan kepada calon lain untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat keputusan menolak pencalonan untuk jawatan tertinggi parti Islam itu.

Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, beliau yakin kawasan-kawasan lain tidak lagi membuat pencalonan kepada Tuan Ibrahim sebagai calon presiden PAS selepas penolakannya untuk pemilihan pada Jun nanti.

"Saya difahamkan sekurang-kurangnya 15 kawasan di Johor akan mencalonkan calon alternatif selain Ustaz Hadi untuk menjadi presiden PAS," kata Wan Rahim kepada The Malaysian Insider.

"Penolakan awal Datuk Tuan Ibrahim akan membuka laluan kepada tokoh-tokoh lain pula untuk dicalonkan," kata Wan Rahim mengulas penolakan Tuan Ibrahim terhadap pencalonan PAS kawasan Kota Baru untuk menjadi calon presiden PAS.

"Saya yakin seorang ulama juga akan dipilih untuk menjadi calon lain selepas Datuk Tuan menolaknya dan antaranya Ahmad Awang," kata timbalan ketua pengarah pilihan raya PAS itu merujuk kepada pemimpin veteran berumur 79 tahun dan pernah menjadi ahli majlis Syura selama 15 tahun.

Pada Isnin, Wan Rahim memberitahu The Malaysian Insider yang PAS Kota Baru membuat keputusan menamakan Tuan Ibrahim sebagai calon bagi jawatan presiden PAS.

Mereka berkata, pencalonan Tuan Ibrahim dapat menyatukan dua kumpulan yang berpecah dalam PAS iaitu kumpulan profesional dan konservatif, serta menyatukan parti Islam itu.

Wan Rahim berkata, Tuan Ibrahim dicalonkan kerana merupakan seorang ulama dan dipercayai Hadi.

Bagaimanapun, naib presiden PAS itu menolak pencalonan itu dan mengatakan beliau tidak layak untuk melawan Hadi.

Menyifatkan pencalonan itu satu kejutan, beliau berkata:

"Seperti yang saya katakan kepada para wartawan yang bertanyakan hal ini hari ini, kalau Datuk Husam (Musa) berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Hadi, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Hadi dari segi kepimpinan."

Kawasan pertama di Johor yang akan bermesyuarat Sabtu ini ialah Parit Sulong yang diketuai oleh Ir Khairudin Abdul Rahim. Bekas exco Pemuda PAS itu dikatakan akan membuat pencalonan selain daripada Hadi sebagai presiden.

Ahmad yang pernah menjadi naib presiden PAS adalah calon yang popular di Johor selepas penolakan Tuan Ibrahim.

PAS akan mengadakan muktamarnya yang ke-61 Jun ini di Shah Alam di mana pemilihan semua pucuk pimpinan parti akan diadakan.

Berikutan perpecahan ketara dalam parti itu, calon presiden yang boleh menyatukan PAS sedang dicari ekoran dakwaan Hadi tidak lagi menjadi presiden kepada semua.

Semasa membuat penggulungan ucapan semasa Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu, Hadi meminta mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengannya agar meninggalkan parti itu.

"Sesiapa yang rasa nak jadi imam pergi cari tanah sendiri, bina masjid sendiri dan jadi imam," kata Hadi seolah-olah menghalau pihak yang tidak sebulu dengannya dalam PAS.

No comments: