PAS dua kali mengganti presiden, tolak ucapan dasar

Oleh:  Pukul Canang



Langkah PAS Kawasan Kota Bharu mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden PAS mencabar Abdul Hadi Awang merupakan usul terbaik bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu.

Meski pun Tuan Ibrahim menolak pencalonan namun semangat mencalonkan selain Hadi adalah bukti kukuh akar umbi PAS mahukan perubahan. Sekali gus menolak politik yang sering dipropagandakan oleh puak Unity Government (UG) dalam parti itu bahawa Hadi tidak boleh dilawan.

Larangan mutlak jangan menggantikan ketua bukan ajaran Islam. Agama Islam tidak pernah melarang ketua diganti apabila didapati uzur atau lemah dalam kepimpinan.

Alasan menggantikan Hadi berasas. Seperti mana kata Ketua PAS Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa faktor kesihatan membolehkan Hadi digantikan dengan seseorang yang lebih cergas dan muda. Hadi pernah dimasukkan ke hospital sewaktu melawat Turki tahun lalu dan sekembalinya ke Malaysia, dimasukkan pula ke IJN.


Era gemilang Fadzil

Alasan lain tentunya lebih banyak. Namun tidak perlu untuk diketengahkan. Hadi dalam tempoh keuzurannya agak kurang sesuai memimpin parti yang sedang bergolak dan perlukan lebih tumpuan untuk menanganinya.

PAS yang sederhana pada era Fadzil Noor berubah ke arah ekstrem zaman Hadi. Pemikir seperti Dr Zuhdi beberapa kali pernah melontarkan idea agar PAS berpecah dua antara golongan pro Pakatan Rakyat dan pro ulama. Anehnya Hadi tidak menegur keceluparan Zuhdi yang membelakangkan keputusan muktamar itu.

Hadi juga kelihatan gagal mengawal ahli-ahli parlimen PAS seperti Nik Abduh dan Nasaruddin Tantawi daripada mengecam DAP atau PKR. Dalam sesetengah kes Hadi juga hilang arah apabila menentang idea pilihan raya kerajaan tempatan yang dicadangkan DAP dengan hujah perkauman kononnya akan mencetuskan rusuhan kaum ala 13 Mei 1969. Apabila berlaku insiden kereta Dr Hatta dibakar dan Dr Dzulkifly ditumbuk, Hadi juga berdiam diri.


Calon lain banyak

Maka cara paling baik untuk mentaut kembali parti yang berpecah dalaman dan hampir meninggalkan PR adalah dengan melantik ketua yang baharu. Meski pun Tuan Ibrahim tidak menerima pencalonan, PAS kawasan sewajarnya terus berani mencalonkan nama selain Hadi.

Banyak calon lain seperti Husam Musa, Mohammad Sabu, Sallehudin Ayob, Khalid Samad, Dr Hatta dan sebagainya boleh dinamakan. Sekiranya kesemua mereka menolak pencalonan tetap satu mesej yang jelas disampaikan kepada Hadi, bahawa polisi yang diamalkan beliau tidak disenangai ahli akar umbi.

Sekiranya Hadi ingin juga kekal menjadi presiden yang relevan maka beliau perlu mengubah kebijaksanaan. Kembali kepada polisi asal yang mementingkan persekutuan bersama rakan-rakan PR dan mengutamakan keputusan secara konsensus.

Hadi jangan lagi melihat kedudukannya lebih tinggi daripada pemimpin PR yang lain sehingga boleh memveto keputusan PKR dan DAP secara peribadi. Lebih daripada itu, kepercayaan rakyat boleh dijana dengan kembalinya pendirian presiden PAS ke arah kerjasama mantap dalam PR.PAS boleh menyiapkan diri bertarung dengan musuh sebenarnya Umno.


Kelirukan ahli

Namun sekiranya kepimpinan Hadi diteruskan dengan cara sedia ada, tentulah perpecahan dalaman akan lebih serius. Kumpulan ekstrem yang suatu ketika dahulu boleh lagi duduk semeja dengan puak profesional kini telah mengeluarkan ketetapan baharu, iaitu lebih baik PAS kecil seperti 1980an agar senang ditadbir.

Mereka gemar menggunakan hujah perjuangan PAS mencari reda Allah semata-mata. Seolah-olah perjuangan selama ini tidak mendapat keredaan Allah kerana terlalu berpolitik. Mereka langsung tidak mengambil pusing pendapat sinis rakyat terhadap PAS.

Arus pemikiran inilah yang perlu dirombak. PAS yang canggih dan diminati golongan profesional pada zaman Fadzil tidak boleh dibiarkan mengecut dan hilang ke dalam tanah seperti era Asri Muda.

Sia-sia sahaja perjuangan Nik Aziz mengganti kepimpinan Asri dengan kepimpinan ulama sejak 1980an lalu. Bagi ahli PAS yang melihat usaha mencabar presiden suatu tindakan tidak bermaruah, mereka wajar menjengok seketika sejarah PAS.


Tukar presiden

Usaha menggantikan presiden PAS tidak semudah Lim Kit Siang memberi jawatan kepada Lim Guan Eng atau Dr Mahathir memberi jawatan kepada Abdullah Badawi. PAS menukar ketua parti melalui pergolakan dalaman.

Penukaran Yang Dipertua PAS Asri Muda pada 1982 melalui proses yang amat mengguris hati. Pemuda PAS mengasingkan Muktamar Pemuda sehari lebih awal. Asri yang kecewa bertindak balas dengan tidak menyampaikan ucapan dasar pada hari pertama muktamar. Beliau hanya berucap pada hari kedua, 23 Oktober 1982.

Sehari sebelum itu, 22 Oktober 1982, Pemuda telah membawa usul kepimpinan ulama dan juga penubuhan Majlis Syura Ulama selain usul supaya ucapan dasar Yang Dipertua Agung ditolak. Asri meletak jawatan secara rasmi pada 23 Oktober 1982

PAS bergolak lagi pada 1986 apabila presidennya Yusuf Rawa meletak jawatan selepas Muktamar di Rusila , Terengganu. Sebahagian daripada ucapan dasar beliau telah ditolak oleh muktamar itu. Beliau menulis surat meletak jawatan semasa muktamar berlangsung.

Yusuf Rawa enggan berucap sewaktu ucapan penggulungan Muktamar. Ucapan dibuat oleh Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Walau bagaimanapun, semua yang meletak jawatan telah menarik balik surat mereka atas inisiatif Ustaz Fadzil dan beberapa AJK PAS lain pada waktu itu. Bagaimanapun, Yusuf meletak jawatan buat kali kedua kerana keuzuran pada 1989.


Tahaluf siyasi

Fadzil Noor kemudian dilantik menjadi presiden yang baharu. Zaman Fadzil adalah zaman gemilang dan PAS memperkenalkan tahaluf siyasi. Pada 1989 PAS bertahaluf dengan Semangat 46 dan DAP. PAS berjaya menguasai Kelantan dalam pilihan raya umum 1990.

Pada 1998 PAS bertahaluf dengan PKR dan DAP. PAS menang di Kelantan, Kedah, Perak dan menjadi komponen penting dalam kerajaan Selangor serta Pulau Pinang.

Sepanjang tempoh itu juga ahli PAS bertambah lebih sekali ganda. Pada 1998 misalnya keahlian PAS hanya 400,000 namun kini mencecah 1.3 juta. Tahaluf telah menjinakkan golongan bukan Islam menerima perjuangan PAS yang suatu ketika dianggap ekstrem.

Kini, keadaan itu cuba diputar balik oleh golongan pemikir dan ustaz aliran jumud yang mengemudi parti itu. Mereka sengaja menggunakan alasan hukum Hudud, enggan berkerjasama dengan Cina DAP dan sebagainya untuk memencilkan PAS kepada jemaah eksklusif ala Tabligh.


Sertai demo

Tibalah masanya pemikir aliran jumud dalam PAS dihentikan. PAS perlu berperanan seperti sebelumnya dalam melawan BN dengan cara ceramah dan demonstrasi jalanan.

Tunjuk perasaan 7 Mac misalnya disertai terlalu sedikit pemimpin PAS. Tindakan ini merosakkan masa depan parti itu. Apabila rakyat melihat PAS bukan lagi mainstream yang mewakili pemikiran mereka maka rakyat tidak akan memberi undi dalam pilihan raya.

Garis politik di Malaysia sejak 1998 amat jelas. Kerajaan anti perhimpunan dan pembangkang menggunakan perhimpunan bagi menguatkan sokongan ke atas mereka. Jika kepimpinan ulama PAS tidak lagi mahu terlibat maka PAS akan dicop sebagai penyokong kerajaan BN.

PAS wajib diberi nafas baharu. Sama ada melantik presiden baharu atau presiden sedia ada mengubah kebijaksanaannya.


No comments: