Tiada Dalam Terma Khalid Kekal Sebagai MB Sepenuh Penggal

Tiada Dalam Terma Khalid Kekal Sebagai MB Sepenuh Penggal

greenboc 

PKR Selayang senarai sebab mengapa Khalid tidak layak jadi MB

Ketua PKR cabang Selayang, William Leong Jee Keen hari ini berkata, pihaknya bersama 28 Ahli Jawatankuasa dalam mesyuarat khas cabang selama 40 minit malam tadi bersepakat mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.

William Leong turut meminta kerjasama Khalid supaya akur menerima keputusan yang telah dicapai Majlis Kepimpinan Pusat Pakatan Rakyat pada 5 Januari lalu serta disahkan semula pada mesyuarat 23 Julai lalu di mana Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan mengambil alih.

"Jawatan MB bukan hak peribadi Khalid dan tiada terma yang mengatakan beliau akan kekal sebagai MB sepenuh penggal kerana dalam politik parti mesti mengambil kira dari semasa ke semasa apa jua pandangan dan sokongan rakyat.

"Jika seseorang pemimpin didapati hilang kelayakan atau kepercayaan rakyat, maka adalah menjadi tanggungjawab parti menukar pemimpin, tak perlu tunggu penggal tamat.

"Sebab itu kita minta Khalid memikirkan lebih mendalam dan minta nasihat orang lebih layak untuk mengambil keputusan dan berundur.

"Lagipun ramai mendakwa bahawa Anwar gila kuasa kerana tak dapat jadi MB lantik isterinya Wan Azizah, itu sebenarnya tak benar, PKR yang mempunyai 219 cabang dengan hampir 500,000 ahli bukan dipengaruhi satu individu, ini keputusan majlis perwakilan pusat PR," katanya pada sidang akhbar berhubung konflik politik di Taman Selayang Jaya di sini.

Menurut beliau, sebenarnya parti membuat keputusan kerana Khalid gagal melaksanakan manifesto PR yang dipersetujui malah menafikan ia sebagai janji rakyat.

Malah katanya, isu lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) bila ditanya rakyat, Khalid tanpa rasa bersalah memberi jawapan ia adalah manifesto pembangkang yang tiada kena mengena dengan negeri.

Selain itu katanya lagi, Khalid didakwa membuat keputusan sesuka hati tanpa mempedulikan manifesto PR untuk negeri menaikkan premium cukai tanah dan cukai pintu melambung sehingga 400 peratus menyusahkan rakyat sehingga pakatan tidak boleh menjawab di Parlimen.

"Kita soal kerajaan BN pusat kenapa naikkan tol dan cukai tetapi kerajaan negeri Selangor PKR buat begitu dan menyusahkan parti, selain geran tanah dengan kadar premium tinggi, sampah melimpah dan wabak denggi diluar kawalan yang mana turut dikecam rakyat.

"Bukan sekadar itu, mesyuarat biro politik pun dia tak pernah datang selain kurang menyertai Majlis Kepimpinan Pusat setiap bulan sehingga parti PKR tak dapat tahu apa Khalid buat.


"Kita lantik Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri pada 2009 sebagai inisiatif untuk mengadakan satu saluran membincangkan polisi antara parti dan Khalid melibatkan ekonomi negeri, kebajikan rakyat dan polisi parti.

"Ini semua tidak dapat dilaksanakan disebabkan Khalid tidak mahu menerima cadangan atau idea Anwar sambil mengatakan dia bukan pak urut yang mendengar 100 peratus semua cadangannya.

"Malah prestasi Khalid tidak begitu memuaskan, Khalid tak ikut polisi parti, menafikan dan tidak mengikut juga manifesto dan janji kepada rakyat negeri.

"Selepas Mesyuarat Majlis Pepimpinan Pusat dah buat keputusan, kini sudah 7 bulan berlalu dan ini bukan perkara (tukar MB) dibuat secara tiba-tiba. Kajang Move menerusi PRK Kajang satu langkah awal Khalid perlu berundur," tegasnya.

Lagipun katanya, tidak wajar seorang presiden PKR (Wan Azizah) berfungsi sebagai ADUN biasa di bawah seorang MB (Khalid) yang tiada jawatan dalam parti di negeri.

Dalam pada itu beliau turut berharap komponen PR iaitu Pas supaya menimbangkan dengan teliti keputusan pakatan rakyat kerana adalah penting untuk gabungan pembangkang menjadi lebih kuat memenuhi harapan rakyat.

"Kita sedia memberi penjelasan penuh jika terdapat perkara yang kurang mereka ketahui dalam soal pertukaran MB," katanya. -MG



Saya yang cadang Wan Azizah jadi MB - Syed Husin

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali memberitahu, cadangan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diberikan olehnya kepada biro politik PKR.

Dalam laman Tweeternya, Dr Syed Ali turut mengakui nama Wan Azizah itu diberikan bukan sahaja untuk jawatan MB Selangor tetapi sudah diberikan untuk menjadi calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang berlangsung pada 23 Mac lepas.



Pada Sabtu, empat pemimpin cabang PKR iaitu R Sivarasa (Subang), William Leong (Selayang), Yew Boon Lye (Klang) dan David Cheong (Kuala Langat) menyatakan sokongan kepada Wan Azizah yang dianggap paling layak menjadi menteri besar.

Mereka turut meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur dari jawatan tersebut bagi menghormati keputusan parti.


Keempat-empat mereka juga meminta anggota PKR menyokong keputusan Majlis Pimpinan Pusat pada 21 Julai lalu yang menamakan Wan Azizah sebagai calon untuk jawatan itu.

Sebelum ini, Wan Azizah turut membayangkan kesediaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor sekali gus menggantikan Abdul Khalid.

Azizah berkata, ia adalah satu tanggungjawab yang besar dan amanah yang perlu dijaga.
- astroawani