Fitnah "BOM": Rafizi beri keterangan hari ini, persoal kewajaran tindakan polis
Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat PKR Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan kewajaran tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil beliau untuk disoal siasat berhubung satu emel mendakwa usaha membuat letupan di beberapa kawasan semasa sambutan tahun baru yang dimulakan oleh blog Umno.
Beliau menyifatkan permintaan untuk beliau datang ke balai polis adalah sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan ia hanyalah tuduhan tanpa sebarang bukti.
"Saya begitu terkejut dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu ini kerana bagi saya ia satu tuduhan yang dibuat secara main-main oleh pihak blogger.
Rafizi yang ditemani dua peguamnya, N Surendran dan Latheefa Koya hadir di balai polis Dang Wangi kira-kira jam 11.35 pagi.
Menurut N. Surendran, beliau percaya tindakan polis yang memanggil anak guamnya Rafizi adalah sebagai satu cara usaha untuk mengaburi orang ramai terhadap perhimpunan Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) yang akan diadakan pada malam tahun baru.
Sementara itu, seawal jam 10 pagi, menyaksikan kehadiran kira 30 orang Pemuda dan Puteri Umno Wilayah yang datang membuat laporan membantah perhimpunan Turun.
Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho berkata emel yang diterima mengenai ancaman bom itu didakwa dihantar oleh bekas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Dr Rahim Ghouse.
Kenyataan polis bagaimanapun tidak menyebut samaada pasukan itu juga telah mengenal pasti pihak yang mula-mula menyebarkan emel tersebut.
Walau bagaimanapun, Abdul Rahim yang dihubungi Mingguan Malaysia menafikan perkara tersebut dan memberitahu surat itu ditulis pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka semata-mata.
"Saya menafikan perkara ini kerana surat itu, bukan saya yang tulis. Ada orang buat surat itu menggunakan nama saya. Mereka menulis surat seperti itu untuk agenda mereka, tetapi mahu melibatkan saya," katanya.
Ditanya apakah tindakannya berhubung penyebaran surat itu, Abdul Rahim berkata, beliau perlu meneliti perkara tersebut terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Sementara itu, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyiasat kesahihan sekeping surat makluman strategi pelaksanaan perhimpunan haram yang tersebar di laman sosial sejak kelmarin.
Sumber berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk jika wujud elemen sabotaj yang dilakukan oleh individu tertentu.
"Buat masa ini kesahihan e-mel itu belum dapat dipastikan tetapi polis akan mendapatkan kerjasama agensi berkaitan termasuk SKMM untuk meneliti ketulenan surat tersebut sama ada ia dihantar oleh Abdul Rahim atau individu lain," kata sumber itu.