Najib dianggap tidak berlaku adil kerana ‘singkir’ Presiden MCA bertanding PRU-13

Najib dianggap tidak berlaku adil kerana ‘singkir’ Presiden MCA bertanding PRU-13
11 April 2013
GELANG PATAH, 11 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak tidak berlaku adil apabila tidak menyenaraikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.


Katanya, beliau bersimpati dan kasihan dengan nasib Chua yang hari ini terpaksa mengaku dia tidak akan bertanding pada PRU-13 tidak lama nanti.
“Ini sangat memalukan dan dianggap menghina Chua yang terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda menggantikan beliau supaya parti itu terus kekal relevan,
“Hakikatnya Presiden MCA itu tidak dibenarkan bertanding oleh Najib kerana perjuangan MCA dikatakan menyimpang dalam landskap politik Malaysia yang baru selepas tsunami politik 2008.


“Najib bimbang mencalonkan Chua mungkin untuk mengelak beliau daripada menjadi Perdana Menteri terakhir UMNO/BN mengikut ramalan RAHMAN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Chua sebelum ini menuduh Kit Siang sebagai seorang “pelarian politik’ apabila memilih bertanding di Gelang Patah, Johor daripada kerusi Ipoh Timur yang dimenangi dua penggal dengan majoriti lebih 21,000 undi.
“Najib tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana ia bukan urusan UMNO sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Presiden MCA menentukan pemilihan calon MCA.


“Jika Chua tidak layak menjadi calon BN, bagaimana dia boleh cergas dan dipilih menjadi Presiden MCA,” katanya.
Kit Siang yang juga penyandang Ahli Parlimen Ipoh TImur berkata, kepimpinan MCA perlu berani bersuara menentang ketidakadilan Najib terhadap Chua kerana Najib tidak berhak menyingkirkan Chua menjadi calon BN pada PRU-13.


Katanya, belum ada Perdana Menteri sebelum ini termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir atau Tun Abdullah yang berani menggunakan kuasa veto untuk menyingkirkan Presiden MCA sezaman mereka seperti Tun Tan Siew Sin, Tun Dr Lim Chong Eu, Tan Sri Lee San Choon, Tan Koon Swan, Tun Dr Ling Liong Sik atau Tan Sri Ong Ka Ting daripada bertanding sebagai calon BN pada setiap kali pilihan raya.-Roketkini.com