Hindraf usah perlekeh DAP, PR bantu masyarakat India

Hindraf usah perlekeh DAP, PR bantu masyarakat India
11 April 2013
KLANG, 11 APRIL: Hindraf diminta menghentikan sikap kebudak-budakkan dalam semua tuntutan kerana mereka bukan satu-satunya organisasi yang mengetengah dan memperjuangkan nasib masyarakat India negara ini.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Santiago menganggap dakwaan Hindraf yang menuduh Deklarasi Gelang Patah diplagiat daripada mereka sebagai tidak masuk akal dan tidak wajar.
“Kami akui Hindraf mengeluarkan manifesto mereka dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India.

“Tetapi ada lagi pertubuhan India yang lain seperti Badan Bertindak Hak Asasi Masyarakat India Kebangsaan (NIAT) yang mengeluarkan 68 muka surat pelan dan dasar pembaharuan untuk memperdaya masyarakat India,” jelas beliau.

Charles juga Penyandang Parlimen Klang mengingatkan semua pihak bahawa aspirasi untuk memperdayakan sosio-ekonomi masyarakat India negara ini tidak boleh di monopoli sesebuah pertubuhan semata-mata kerana setiap pihak mempunyai ruang untuk memberi sumbangan.
“Pada Pilihan Raya Umum 1999, sebuah NGO yang bergabung di bawah Kumpulan Warga Prihatin (GCC) menyediakan sebuah dokumen “Tuntutan Masyarakat India Malaysia: Demi masa depan yang lebih baik” (Demands of Indian Malaysians: For a Better Future).

“Dokumen itu disokong dan didokong parti politik seperti DAP, PAS, PRM, dan PKR ketika itu,” katanya.
Charles juga mahu Hindraf melihat semula dasar dan sumbangan yang diberi kepada masyarakat India di negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor dan Pulau Pinang di mana MIC gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.


“Pemimpin Hindraf perlu sedar bahawa ramai pemimpin dalam PR telah lama bekerja keras bersama masyarakat India sebelum pertubuhan itu dibentuk.

“Setelah kerajaan PR dibentuk, kami telah buat banyak program dan memberi peruntukan untuk sekolah Tamil, kebajikan, keagamaan termasuk memulakan perniagaan kecil-kecilan,” jelas beliau.

No comments: