UMNO tidak bermoral, pimpinan rendah pula akhlaknya
aspan alias
Apa yang sedang dikatakan oleh
Tan Sri Musa Hasan akhir-akhir ini merupakan ‘consequence’ yang amat buruk
hasil daripada pencerobohan pihak ‘executive’ terhadap badan-badan bebas seperti
Badan Kehakiman dan Perundangan serta ‘Badan Legislative’ yang mula dilakukan
oleh pentadbiran Dr Mahathir dan Dr Mahathir itu sendiri. Walaupun ramai yang
menentang tindakan Dr Mahathir mencemari badan-badan bebas negara semasa itu,
tetapi mereka ini tidak dipedulikan kerana ketamakan kuasa dan tidak mahu
tunduk kepada sistem demokrasi negara.
Pihak kerajaan pimpinan Mahathir
semasa itu amat jelas tidak berakhlak dengan memecat Ketua Hakim Negara dan
empat Hakim Mahkamah Agong semasa itu. Dr
Mahathir telah menekan Badan Kehakiman khususnya terhadap Tun Salleh Abas
semasa Mahkamah Agong bersedia untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO (asal)
untuk menghidupkan UMNO yang telah dibunuh oleh Dr Mahathir.
Kalau dikaji dari mana sudut penghakiman sekali pun, UMNO asal akan hidup, dan inilah yang tidak digemari
oleh Dr Mahathir. Mahathir mahukan UMNO asal itu mati terus dan tidak mahu
melaksanakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan untuk diadakan sekali
lagi pemilihan UMNO. Pemilihan sebelumnya itu tidak sah kerana
wujudnya beberapa orang yang tidak layak mengundi dan menjadi perwakilan UMNO
ke Perhimpunan Agung 1987.
Dr Mahathir tidak mahu pemilihan
itu diadakan sekali lagi kerana takut dengan keputusan pemilihan yang
demokratik dalam UMNO semasa itu. Dr Mahathir terpaksa menggunakan peguam, Sri
Ram, untuk mengharamkan UMNO di Mahkamah Tinggi kerana Dr Mahathir mahu UMNO
terus mati dan beliau terus menjadi Perdana Menteri walaupun jawatan yang
beliau pegang itu sudah tidak lagi ‘legitimate’.
Untuk memenuhi kehendak dan nafsu
beliau itu cara yang terbaik ialah dengan mengharamkan UMNO dan menubuhkan
sebuah parti baru yang diberi nama UMNO (baru). Badan Executive pimpinan
Mahathir telah menceroboh badan kehakiman dengan meminta Ketua Hakim Negara,
Tun Salleh Abas untuk duduk membuat penghakiman dengan hanya tiga Hakim
Mahkamah Agong. Mahathir mahukan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara bersama
dua orang Hakim yang Mahathir boleh pengaruhi duduk untuk menghakimkan tuntutan
ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO yang telah terbatal pendaftarannya itu.
Tun Salleh tetap dengan
pendirian untuk semua kesembilan hakim-hakim Mahkamah Agong untuk duduk bersama
menghakimkan tuntutan itu kerana isu ini merupakan isu yang amat besar bagi
orang Melayu dan rakyat Malaysia
amnya. Tetapi Dr Mahathir tidak gemar dengan tindakan Ketua Hakim Negara itu
kerana Mahathir begitu ‘desperate’ untuk mempertahankan jawatan Perdana Menteri
yang beliau pegang itu. Dr Mahathir mahu semua pihak tunduk kepada beliau
kerana beliau begitu terdesak dan akan kehilangan kerusi PM itu jika demokrasi
terlaksana secara telus.
Dr Mahathir sudah hilang
pertimbangan dan tidak mahu lagi institusi demokrasi menghalang niat beliau
untuk berkuasa mengikut kehendak hati beliau. Beliau secara peribadi telah
memanggil Tun Salleh Abas dan bertanyakan samada Ketua Hakim itu mahu bersara.
Tun Salleh tidak berganjak kerana Hakim-Hakim mempunyai umur persaraan dalam
usia 65 tahun sedangkan beliau semasa itu baru berumur 59 tahun.
Tun Salleh memberitahu yang
beliau mengetuai Badan Kehakiman yang bebas dari campur tangan ‘Executive’
termasuk Perdana Menteri. Sesungguhnya Tun Salleh akan hanya boleh berhentikan
jika ‘brother judges’ melakukannya. Cara kedua untuk memberhentikan Ketua Hakim
ialah dengan menubuhkan tribunal yang di titahkan oleh Yang di Pertuan Agong.
Tribunal untuk membicara Tun
Salleh ditubuhkan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri
dengan tergesa-gesa dan lucunya cara penubuhannya tetap menjadi ingatan kepada
semua yang mengikuti isu itu dengan cara yang lebih dekat. Tribunal itu telah
di tubuhkan dalam satu hari dan dengan pantas.
Nasihat PM kepada Tuanku Agong di
buat pada 1hb Mei 1988 dan persetujuan
YDP Agong juga didapati pada 1hb Mei. Perlantikan hakim Mahkamah Tinggi Sri
Lanka dan Singapura dibuat pada 1hb Mei dan jawapan persetujuan mereka pun
pada hari yang sama. Yang lebih lucu dan menyedihkan 1hb Mei itu adalah hari
buruh dan cuti umum dan hari minggu pula. Semuanya ini adalah tindakan ‘desperate’
pimpinan semasa itu untuk bergayut kepada kuasa yang hampir terlepas itu.
Insiden ini merupakan titik hitam
dalam sejarah negara kerana pada saat itulah bermulanya Badan Kehakiman
dicerobohi dan ditakluk oleh pihak ‘executive’ yang diketuai oleh Dr
Mahathir
Mohammad. Dari saat itulah semua badan-badan bebas demokrasi dikuasai
oleh
Perdana Menteri dan semua sistem demokrasi terkubur dan tidak lagi bebas
untuk
melaksanakan tugas dengan betul.
Dari saat itu jugalah badan
kepolisian negara tercemar serta badan perundangan seperti Jabatan Peguam
Negara tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul. Apabila sesuatu badan bebas yang mempunyai
tanggungjawab terhadap negara sudah tidak bebas lagi, maka politik sahajalah
yang menentukan segala-galanya.
Kecacatan sistem demokrasi kita ini
telah rosak sehingga ke hari ini dan tidak mungkin boleh diperbetulkan oleh
parti atau kepimpinan kerajaan yang telah mencemarinya iaitu UMNO dan Barisan
Nasional. Kenyataan-kenyataan Tan Sri Musa Hasan itu adalah sebahagian yang
sangat kecil dari apa yang sebenarnya dilakukan oleh pimpinan kerajaan yang
tidak henti-henti mencemari tugas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara
misalnya.
Segala tindakan ‘professional’
telah diambil alih oleh tindakan politik di mana-mana dan jika pimpinan politik
itu gila, ia bermakna kita dipimpin oleh orang-orang gila. Hasil daripada
pencerobohan inilah yang telah menjadikan segala-galanya tidak betul lagi
termasuk politik yang kini menjadi aktiviti ganas yang dilakukan oleh penyokong
pihak kerajaan yang sudah dibenci rakyat dan akan ditumbangkan oleh rakyat
juga dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Jika kita pertimbangkan secara
halus kita sudah boleh membuat pertimbangan yang ‘conclusive’ Dr Mahathir
bukanlah seorang PM yang ‘legitimate’ dan tidak bermoral. Mengekalkan Dr
Mahathir semasa itu amat mahal harganya sehinggakan semua sistem demokrasi kita
telah punah ranah.
Keadaan ini lebih teruk lagi
kerana pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir telah terikut-ikut dengan
budaya dan sistem Mahathir dalam mentadbir negara. Mereka yang mewarisi Dr
Mahathir telah melakukan perkara yang lebih teruk lagi kerana sistem Mahathir
itu telah menjadi ikutan pimpinan yang mengambilalih darinya (Mahathir).
Pendeknya memang tepat kata-kata perbidalan, "jika bapa kencing berdiri anak-anak
pula kencing berlari." Mahathir yang kencing berdiri, Pak Lah dan Najib juga kencing berlari. Jika Muhyiddin mengambil alih
Najib sekarang seperti yang dihajati Dr Mahathir mungkin Muhyiddin akan kencing
sambil menonggeng.
Kenyataan Musa Hasan wajar didengar dengan baik kerana beliau mempunyai hak untuk membela diri dari tohmahan
pimpinan UMNO terhadap beliau sedangkan apa yang berlaku semasa beliau dalam
perkhidmatan sehingga hari ini ialah UMNO dan pimpinnya sendiri.
Musa Hasan wajar membuat kenyataan-kenyataan
dari masa ke semasa dengan membongkar segala apa yang berlaku dan yang
dilakukan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Kenyataan Musa itu
nanti akan menjadi kenyataan yang membantu usaha ramai untuk mengetahui
segala-gala yang berlaku di belakang tabir dan ia akan ditambah pula dengan
kenyataan Deepak yang akhir-akhir ini telah membongkar isu Altantuya dan
lain-lain yang berkaitan dan yang menghangatkan itu.
Pendeknya, tidak ada lagi yang
betul dalam UMNO dan BN sekarang ini. Jika mereka benar, masakan apa yang kita
lihat dan dengar itu boleh berlaku di hadapan mata dan kepala kita.