Kes Kepala Babi : Pas Anjur Solat Hajat Aman

SHAH ALAM 3 FEB : Susulan insiden penemuan kepala babi di beberapa buah masjid semakin menjadi-jadi, PAS Selangor akan menganjurkan solat hajat memohon agar insiden ini tidak merebak dan menimbulkan huru hara.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata solat hajat akan dilakukan di peringkat negeri, dan di setiap daerah dan cawangan.

Solat hajat ini dibuat dengan tujuan merapatkan muafakat penganut agama Islam supaya tenang dan matang menghadapi pihak yang cuba mencetuskan ketegangan antara agama di Selangor.

"Kita tahu ada orang yang cuba melakukan provokasi perkauman di Selangor dan ahli-ahli kita tidak mudah termakan provokasi ini.

"Kita mahu ahli-ahli PAS menyelidik dan menjejaki dalang di sebalik insiden ini,"katanya.

Selangor dan Lembah Klang paling kerap dihadap dengan provokasi kaum dan agama semenjak kerajaan negeri bertukar tangan dalam PRU-2008.

Sebelum ini, pada tahun 2010 Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya diletakkan kepala babi.

Isu kepada babi timbul dan diperkatakan semula dengan kejadian terbaru berlaku di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 31 Januari lalu dan Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur semalam.

"Kita arahkan ahli-ahli PAS membantu menjaga kesucian masjid dan surau. PAS selangor sedia bekerjasama dengan semua agensi termasuk polis serta akan menahan sesiapa saja yang cuba mengulangi insiden kepala babi ini,"katanya dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan RM10,000 kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung serangan terbaru ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 1800-888-2824.

No comments: