Najib Digesa Buktikan Rosmah Bukan 'First Lady Of Shopping'





SHAH ALAM 3 FEB : Aktivis politik, Jingga 13 hari ini mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan undang-undang menyaman kesemua mereka yang terlibat mendedahkan sikap boros isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata cabarannya adalah untuk Perdana Menteri membuktikan segala tuduhan terhadap isterinya yang digelar 'First Lady Of Shopping' adalah tidak benar.

"Kalau benar ianya satu fitnah, sila tampil untuk saman kesemua mereka yang terlibat, bukannya hanya bermain persepsi untuk mempengaruhi siasatan dan kefahaman rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) di sini hari ini. Jingga 13 tampil ke SPRM hari ini untuk mengemukakan bukti tambahan bagi laporan rasmi mereka yang telah dihantar pada 26 Januari lalu.

Beberapa media antarabangsa dan tempatan sebelum ini pernah melaporkan gelagat Rosmah yang suka membeli belah di luar negara.

Terbaru, Najib dan Rosmah telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Rosmah telah "berbelanja sakan" di dalam satu lawatan membeli belah ke Sydney, Australia Januari lepas.

Akhbar Autralia Sydney Morning Herald (SMH), Kolumis Andrew Hornery dalam kolum 'Private Sydney' serta artikel wartawan fesyen, Patty Huntington mendakwa Rosmah telah membelanjakan RM325,000 (A$ 100,000) di butik milik pereka fesyen, Carl Kapp.

"Kita yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia sedang menanti reaksi dan tindakan Najib Razak dan Rosmah Mansor berhubung isu scandal ini.

"Tidak pernah berlaku pada mana-mana isteri Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak kira Siti Hasmah (isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed Tun Siti Hasmah Mohd Ali) mahupun Arwahyarhamah Endon (Datin Seri Endon Mahmood), sebaliknya berlaku apabila Rosmah bersikap boros dan tidak sensitif kepada kesusahan rakyat yang menderita dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,"katanya.

Dalam pada itu, Jingga 13 juga mendesak Najib agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi siasatan bagi tujuan menyelamatkan beliau dan isterinya dengan scandal tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Fariz juga mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus dan tidak bersikap 'double standart' terhadap kes-kes seperti ini.

"Kita tidak mahu melihat kes-kes kecil ditangkap sedangkan jerung-jerung besar bebas tanpa sebarang tindakan secara tegas.

"Kita lihat sepertimana yang berlaku pada kes Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo) dan rakyat biasa, kes mencuri susu bayi melibatkan RM20 ditangkap mencuri dan dihukum 3 tahun penjara. Kes Khir Toyo melibatkan jutaan ringgit hanya satu tahun penjara," katanya.