DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN




SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris.

No comments: