Dalam Bahasa Malaysia Valentine's Day diterjemahkan sebagai Hari Kekasih, dan pada setiap 14 Februari ia muncul dalam kalendar Barat sebagai hari yang dikaitkan dengan pasangan kekasih yang bercinta serta mengharapkan kasihnya berbahagia dan berpanjangan. Tidak ada masalah sangat tentang nilai yang hendak dibawa kerana memadu kasih adalah usaha berterusan bagi mana-mana pasangan kerana kasih adalah satu anugerah yang Allah campakkan dalam diri manusia bagi memperlihatkan kebesaranNya.
Islam tidak menentang sifat ini dalam diri manusia kerana Islam adalah agama fitrah yakni cocok dengan naluri manusiawi. Bezanya Islam dalam menyatakan sifat kasih ini ialah dengan mengikatkannya melalui ikatan suci yang dinamakan sebagai perkahwinan. Naluri kasih jika tidak disalurkan melalui ikatan suci dikhuatiri meletakkan manusia dalam perbuatan yang dilarang oleh Islam iaitu seks sebelum berkahwin. Malah tabiat Islam yang mahukan perhubungan yang suci dari kasih-sayang menutup segala peluang dan ruang yang memungkinkan seseorang itu terjebak dalam kegiatan seks sebelum berkahwin. Ini adalah kerana walaupun pasangan itu tidak melakukan seks sebelum berkahwin tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi jaminan bahawa ia akan selamat dari perbuatan sumbang itu. Matlamat kepada pengharaman ini adalah untuk mencapai kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh dan memelihara jangkamasa panjang wujudnya generasi yang sihat secara moralnya. Sebab itu dalam memadu kasih Islam mengkehendaki umatnya diikat dengan ikatan suci perkahwinan.
Tapi kenyataan di atas belum menjawab apa sebenarnya yang melingkungi permasalahan Valentine's Day sehingga ia mencetuskan kontraversi setiap tahun? Saya sempat melayari beberapa laman web yang menceritakan sejarah Valentine's Day ini. Secara ringkasnya ia dinamakan di atas seorang Rahib yang bernama Valentine dikatakan meninggal di tangan kezaliman Rome di bawah Claudius. St Valentine meninggal pada tahun 269 Masehi dan hanya pada tahun 496 Masehi, Pope Gelasius memperingati kematian Rahib Valentine pada setiap 14 Februari.
St Valentine dikatakan sebagai rahib yang mempelopori kasih sayang antara pasangan suami isteri, anak-anak muda dan kecintaan dan gambarnya sering dikaitkan dengan simbol kasih dari gambar burung-burung cinta dan bunga ros yang menjadi simbol kasih antara pasangan. Valentine dalam bahasa latin membawa makna sesuatu yang berharga. Malah sebab kepada pembunuhannya oleh Claudius Gothicus, Raja Rom ketika itu ialah kerana dia mengahwinkan pasangan-pasangan dengan cara Kristian yang dimusuhi oleh Rom ketika itu.
Secara susur-galurnya fakta Valentine's Day berkait rapat dengan kisah seorang Rahib dari sejarah Era konflik Kristian dan Empayar Rom. Bagi umat Islam sejarah ini bukan dari susur-galurnya dan apabila ia dianggap sebagai hari memperingati sejarah Kristian post Nabi Isa alahi salam, umat Islam dilarang meraikannya dalam apa juga bentuk. Ini bukan bermakna umat Islam menolak nilai-nilai baik dari kasih sayang yang dipelopori oleh St Valentine kepada pasangan-pasangan yang diikat dengan ikatan suci, tetapi susur-galur dan sejarahnya tidak ada kena mengena dengan sejarah umat Islam. Fatwa juga telah dikeluarkan oleh Muzakarah jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada November 2005 bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam manakala roh perayaannya mempunyai unsur-unsur Kristian, apatah lagi jika ia dicampur dengan kegiatan maksiat yang dilarang oleh Islam.
Soal menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day tidak timbul bagi umat Islam, adapun bagi yang bukan Islam mereka bebas untuk menyambutnya sebagaimana hari-hari agama masing-masing jika kita memahami bahawa hari tersebut adalah untuk memperingati seorang Rahib yang bernama Valentine. Mesej kasih yang dibawa oleh Valentine bebas dilihat oleh bukan Islam sebagai satu nilai yang mereka hargai mengikut perspektif apa yang diizinkan oleh agama masing-masing. Adapun umat Islam mereka tidak perlu memperingati mana-mana tokoh untuk berkasih-kasihan kerana Al-Quran sendiri memerintahkan umatnya dalam surah Al Rum (21) bahawa: "Di antara tanda-tanda KeagunganNya ialah dijadikan kamu berpasang-pasangan (suami-isteri) supaya kamu dapat hidup dalam ketenangan dan dicampakkan dalam diri kamu perasaan Kasih yang penuh dengan Kerahmatan, Sesungguhnya dalam itu ada petunjuk bagi mereka yang mahu berfikir".
Saya tidak setuju jika kita mahu memaksa orang lain yang bukan Islam supaya tidak merayakannya kerana itu adalah hak mereka. Saya bersetuju jika umat Islam yang tidak faham sejarah ini diberikan penjelasan bahawa hari Valentine adalah hari yang bersusu-galur dari sejarah Kristian. Saya juga tidak bersetuju jikalaupun dirayakan oleh bukan Islam, ia mewajarkan pergaulan bebas dan seks sebelum berkahwin.
Bagi saya kasih adalah sesuatu yang suci maka sucikanlah ia dengan ikatan yang suci, malah ikatan suci ini menambahkan pahala bagi pemiliknya untuk melayari kehidupan yang berbahagia sepanjang hayat. Bagi saya Hari Kekasih adalah setiap hari untuk isteri saya yang tercinta dan ayat 21, Surah Al Rum itu menjadi bacaan saya setiap hari untuk saya mendapatkan anugerah ilahi.
Apakah perlu saya kepada Valentine's Day? Anda boleh menjawabnya setelah selesai membaca tulisan ini.