Pameran Kartun Zunar di London pada Februari 2012

Pameran Kartun Zunar di London pada Februari 2012

Zunar

Adalah diumumkan saya akan mengadakan pameran kartun-kartun politik di London pada bulan Februari depan bertemakan "To Fight Through Cartoon" (Berjuang Melalui Kartun) dan akan berlangsung selama sebulan di situ.

Sebanyak 80 karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan. Antara isu yang difokus ialah Konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, isu rasuah dalam skandal Scorpene, Isu pembunuhan Altantuya, Isu NFL, Isu isteri Perdana Menteri, BERSIH, Sarawak dan sebagainya. Ia dianjurkan oleh sebuah NGO antarabangsa, Artikel 19 yang memperjuangkan kebebasan bersuara serta informasi dan dibantu oleh rakyat Malaysia di United Kingdom yang bergabung di bawah Rakan Pakatan Rakyat.

Majlis pelancaran akan diadakan di venue pameran tersebut iaitu di Free Word Centre, 60 Farringdon Road pada 15 Februari dan akan dirasmikan oleh pengasas Sarawak Report dan Radio Free Sarawak Clare Rewcastle Brown. Selain saya sendiri, turut berucap di majlis tersebut nanti ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM), Malik Imtiaz Sarwar.

Menurut surat jemputan oleh pihak penganjur, tiket untuk majlis tersebut adalah terhad dan ia berdasarkan siapa dulu dia dapat dan boleh ditempah dari sekarang hingga 3 Februari. Kepada orang ramai, terutama yang tinggal di United Kingdom boleh menempah tiket melalui link ini http://article19zunar.eventbrite.com/ atau email kepada sonya@article19.org.

Tema "Berjuang Melalui Kartun" dipilih kerana kartun-kartun politik saya mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia. Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku-buku kartun saya dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam. Selain tu, pejabat saya di Brickfeilds, Kuala Lumpur sering diserbu pihak berkuasa dan buku-buku saya selalu dirampas.

Kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku saya atau kehilangan lesen dan kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku saya. Pada September 2010, saya ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah.

Saya sekarang sedang menyaman kerajaan atas tangkapan tersebut yang pada pandangan saya salah dari segi undang-undang dan kes akan mula didengar pada 18 Januari depan di mahkamah Kuala Lumpur. To Fight Through Cartoon (Berjuang Melalui Kartun) adalah pameran solo saya pertama saya sepanjang 30 tahun berkarya. Sebelum ini pada akhir tahun lepas, saya juga mengadakan dua pameran bersama artis-artis yang lain di Bilbao, Sepanyol.

Rujukan:
*Pada Julai tahun lepas, Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) memberi anugerah "Courage in Editorial Cartooning" (Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial) kepada Zunar.
*Pada Oktober tahun lepas, Zunar dipilih menyertai program tiga bulan "Seni dan Penapisan" anjuran Yayasan BilbaoArte Sepanyol.

*Zunar (gambar kiri) atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ialah kartunis politik Malaysia.