Sesungghnya Lynas merancang untuk mengitar semula dan mengkomersialkan sisa radioaktif nadir bumi, namun seandainya sisa radioaktif ini gagal dikitar semula sepenuhnya, maka Lynas akan mendapatkan sebidang tanah di negeri Pahang untuk membina tapak pembuangan sisa radioaktif, diletakkan di bawah pengawalan institusi (institutional control) selama 300 tahun.
Dalam laporan Lynas kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk mendapatkan lesen operasi sementara, seandainya syarikatnya gagal mengkomersialkan sisa buangan radioaktif yang diproses dan dikitar semula - setelah semua cara digunakan, maka Lynas akan mendapatkan sebidang tanah yang sesuai di negeri Pahang untuk membina kemudahan pengendalian sisa radioaktif kekal (permanent disposal facility).
Menurut laporan, "Ini untuk memastikan pengendalian yang selamat dan pembuang sisa radioaktif dalam masa 300 tahun di bawah pengawalan institusi." Laporan juga menyebut, dalam tempoh 300 tahun itu, tapak pembuangan sisa radioaktif ini akan membina satu papan notis di situ, memberi maklumat terperinci mengenai operasi tapak itu, dan menghalang orang awam dari memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.
Lynas belum mengenalpasti lokasi tapak pembuangan sisa radioaktif, namun menyebut bahawa lokasi itu akan mematuhi cadangan yang dikemukakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), mempertimbangkan faktor ciri-ciri hidrologikal, kedalaman air bawah tanah, ciri-ciri tanah, kegunaan air bawah tanah, aktiviti di atas permukaan bumi, risiko tsunami, populasi manusia, sumber mineral dan sebagainya.
Bagaimanapun, Lynas tidak menyatakan dengan jelas sama ada tanah ini diperuntukkan kerajaan negeri Pahang atau dibeli sendiri. Namun, laporan Lynas menyebut, untuk memastikan sumber kewangan yang mencukupi, syarikatnya akan membekalkan dana yang cukup untuk merobohkan kilang (bila tamat operasi), kerja pembersihan dan pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif.
Tapak pembuangan sisa radioaktif di Papan, setelah tamatnya operasi kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah. |
Menurut Lynas, penghitungan sekarang menganggarkan kos setinggi USD 25 juta, untuk pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif, pemeliharaan dan kos untuk merobohkan kilang selepas tamat operasinya.
Menurut laporan, ketika kilang pemprosesan nadir bumi beroperasi, sisa radioaktif akan disimpan buat sementara di perkarangan kilang (Residue Storage Facility, RSF). Kemudahan ini direka untuk menampung sisa buangan selama lima tahun. Apabila terlebih muatannya, maka sisa Water Leach Purification Solid (WLP) akan dibawa ke tapak pembuangan sisa kekal.
Apabila kilang pemprosesan nadir bumi berhenti operasi selepas 20 tahun, semua sisa pembuangan radioaktif akan diangkat ke tapak pembuangan sisa radioaktif yang kekal.
Laporan Lynas menegaskan, strategi pengendalian sisa pembuangan adalah, menjadikan Flue gas desulfurization Residue (FGD), Neutralization Underflow Solid (NUF), dan Water Leach Purification Solid (WLP) kepada Synthetic Gypsum, Magnesium Rich Gypsum dan Iron Phospho Gypsum.
Lynas mendakwa, kajian terkini menunjukkan FGD, NUF dan sebahagian besar WLP boleh dikomersialkan, hanya sebahagian kecil WLP perlu dibuang dengan menanamnya di tapak pembuangan sisa radioaktif kekal. Lynas berkata, seandainya situasi terburuk berlaku, iaitu WLP gagal dikitar semula untuk kegunaan lain, maka tapak pembuangan sisa kekal akan direka bina untuk sisa WLP yang dihasilkan semasa kilang pemprosesan nadir bumi ini beroperasi.
Carta dalam laporan Lynas menunjukkan, Lynas merancang untuk menjual FGD pada musim keempat tahun 2012, dan menjual FGD sepenuhnya pada tahun 2013. Kemudian, Lynas mungkin menghasilkan baja yang dibuat dengan FGD pada tahun 2014 hingga 2015, untuk pulangan yang lebih tinggi.
Untuk sisa NUF pula, Lynas merancang membina kilang untuk menghasilkan MgCaSO4 pada musim pertama tahun 2013, dan dijual ke Australia, Malaysia dan Indonesia, malah mula menghasilkan Carbon Mg Gypsum product dari tahun 2014 hingga 2015.
Untuk sisa WLP yang mengandungi radioaktif tinggi, Lynas merancang untuk menjalankan ujian penghasilan road base dan paver pada tahun 2012, malah akan menjalankan eksperimen untuk diaplikasikan pada tahun 2013, untuk membina jalan raya, paver dan sebagainya, seterusnya akan menjalankan eksperimen berulangan pada tahun 2014 dan 2015 - dan menghasilkan produk selepas itu.
Dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara daripada syarikat Lynas (M) Sdn. Bhd. (Lynas) kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), iaitu Radioactive Waste Management Plan dan Safety Case For Radioactive Waste Disposal telah dipamerkan untuk mengutip pandangan umum di empat lokasi, dari 3 hingga 17 Januari 2012.
Empat lokasi ini adalah Ibu Pejabat AELB, Dengkil Selangor; pejabat sementara LPTA di tapak Lynas Gebeng, Kuantan, Pahang; Pejabat AELB Cawangan Timur, Kemaman, Terengganu dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 5 Januari 2012.