Kontrak Untuk Semua, Selangor Mahu Keluarkan Lesen Kontraktor

SHAH ALAM 12 SEPT : Kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan sendiri lesen kontraktor Kelas F bagi memastikan setiap kontraktor di negeri Selangor mendapat peluang yang sama rata dalam mendapatkan projek- projek pembangunan dinegeri ini.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, pengeluaran lesen kontraktor itu akan merangkumi bumiputera dan bukan bumiputera.

"Sekarang di Selangor akan ada lesen Kelas F untuk semua kontraktor. Saya telah mencadangkan perkara ini pada mesyuarat exco tertutup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sebuah forum anjuran Persatuan Perniagaan India Malaysia (MIBA) baru- baru ini.

Forum berjudul 'Pertempuran Memenangi Hati Dan Undi Masyarakat India' itu mengumpulkan ahli politik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, ahli akademik, masyarakat sivil dan ahli perniagaan.

Xavier juga berkata, cadangan untuk mengeluarkan lesen kontraktor itu adalah untuk membuktikan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim telus dan tidak mendiskriminasikan mana- mana kaum dalam mendapatkan kontrak kerajaan negeri.

Berpegang kepada prinsip "kontrak adalah untuk semua", Xavier berkata cadangan ini akan mewujudkan persaingan sihat dikalangan kontarktor untuk membida kontrak pembangunan kerajaan negeri.

Beliau menambah, meskipun cadangan itu berdepan dengan banyak rintangan diperingkat persekutuan, namun sekurang- kurangnya ia diluluskan diperingkat kerajaan negeri.

Sehingga kini, Xavier menjelaskan beberapa projek besar telah pun ditenderkan oleh kerajaan negeri Selangor. Antaranya, projek pemuliharaan Sungai Klang dan skim perumahaan dan pembangunan bandar campuran di Tanjung Dua Belas, Bukit Beruntung dan Ijok.

No comments: