KUALA LUMPUR 12 SEPT : Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bersama pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu “Undilah” ciptaan komposer Pete Teo.
Teo berkata lagu itu akan dilancarkan Jumaat ini sempena sambutan Hari Malaysia, lapor Malaysian Insider.
“Lagu ini sebagai pemberitahuan kepada masyarakat untuk daftar sebagai pengundi dan menggalakkan rakyat Malaysia mengundi pada pilihan raya umum ke-13,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.
Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.
“Orang ramai boleh memuat turun video dan lagu berkenaan setelah ia dilancarkan,” kata Teo lagi.
Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Turut disenaraikan ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.
“Secara keseluruhan lebih 180 orang terlibat dalam penghasilan lagu Undilah, sebahagian video klip itu yang berdurasi 1.11 minit kini ditayangkan di YouTube,” katanya lagi.
Sebelum ini, Teo pernah menghasilkan beberapa lagu antaranya Pergi yang dinyanyikan oleh Aizat dan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-24.