Atas Alasan Apa Tahan Ahli PSM Bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR 22 JULAI : Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat mempersoalkan apakah alasan mereka ditahan, sedangkan himpunan aman Bersih 2.0 sudah dua minggu berlalu.

Peguam yang mewakili mereka, Sulaiman Abdullah berkata kesemua mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi himpunan aman tersebut 9 Julai lalu.

Mereka juga didakwa cuba melancarkan perang kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA), Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sulaiman turut mempersoalkan tindakan polis yang masih menahan individu yang dikaitkan dengan Bersih 2.0 walhal himpunan itu telah selesai.

“Bagaimana anda boleh menjustifikasikan tahanan selepas 9 Julai ?.

“Tiada mana-mana afidavit menekankan fakta ini,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini," soalnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.