Bersih: Polis panggil Anwar beri keterangan hari ini


KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil memberi kenyataan hari ini dipercayai berhubung seruan kepada rakyat agar menyertai himpunan BERSIH 2.0 dalam satu ceramah di Brickfield.

Menurut satu kenyataan Biro Komunikasi PKR lewat malam tadi , Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu diminta hadir jam 5 petang di IPD Dang Wangi.

"Notis 111 itu juga ada menyebut siasatan dibuat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan",kenyataan itu dipetik.

Dalam perkembangan sama, turut dipanggil untuk disiasat esok adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan anggota Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Ahli parlimen PKR Subang, R Sivarasa Rasiah.

Petang semalam , polis turut merekod keterangan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dipercayai berhubung puisi 'hasutan' di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya dalam majlis berkenaan.

Selain A Samad, turut disiasat adalah pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan.

Pemuda Umno serang Ibu Pejabat PKR

Sementara itu, hampir 100 pemuda Umno berhimpun di hadapan Ibu Pejabat PKR di Toropicana kira-kira jam 11 malam tadi.

Konvoi bermotor dan kereta itu difahamkan diketuai Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.

Mereka turut membuat ucapan mengugut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan agar membatalkan hasrat mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Mereka juga turut mengugut untuk memusnahkan ibu pejabat parti itu jika himpunan mahu diteruskan.

Menulis di twitter, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution menyifatkan tindakan tersebut satu provokasi dan mempersoal kenapa tiada sebarang halangan dari pihak polis.

"Tindakan provokasi samseng pemuda Umno dikepalai Lokman Adam serang HQ PKR ...PM Najib apa khabar?

"Ucapan samseng Umno ugut DSAI dan Ambiga ...konvoi motorsikal dan kereta, ada permit?

"Samseng Umno ugut musnahkn HQ PKR jika teruskan himpunan Bersih 9 Julai ...apa khabar PM Najib, siapa ganas?" soalnya yang turut bergegas ke tempat kejadian selepas itu.

Menurutnya juga, lebih separuh remaja bawah umur dalam kumpulan itu memakai tshirt merah "patriot" dan membawa bendera Umno.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tropicana.

Sidang media berhubung perkara itu dimaklumkan akan dibuat di lobi parlimen esok.