BERSIH 2.0 : PR Kesal KPM Ugut Pecat Guru




KUALA LUMPUR 28 JUN : Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mengugut mengenakan tindakan tegas termasuk memecat guru yang menyertai himpunan Bersih 2.0 bulan hadapan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengutuk keras tindakan KPM berhubung ugutan keras itu dan berpendapat perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

"Para guru jauh lebih bijak, mereka tahu mana satu yang sehaluan dengan undang-undang negara, mereka tahu risiko yang bakal dihadapi dan mereka juga tahu rasional kenapa diadakan perhimpunan Bersih 2.0, jangan anggap para guru ini tidak cerdik menilai.
Bagi saya ini ialah tahap minda kewarasan akal dan kecerdasan timbalan menteri pelajaran yang sangat lemah," kata Izzah.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Puad Zarkashi berkata pihaknya akan mengenakan tindakan tegas ke atas golongan guru yang terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 termasuk berisoko untuk dipecat.

Zarkashi juga dilaporkan sebagai berkata larangan tersebut adalah kerana perhimpunan tersebut adalah perhimpuanan haram dan melanggar undang- undang negara.

"Kita tidak akan berkompromi dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat," kata Puad.

Izzah menambah, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku malah golongan pendidik seharusnya diangkat martabat mereka, kerana mereka adalah pembina kekuatan dan kemajuan anak bangsa.

"Pada saya kepentingan guru seharusnya dilihat sebagai benteng utama negara membina pendidikan masa depan anak-anak, tetapi kerajaan layan mereka begini dengan memberikan amaran, ini jelas dalam soal kenajikan guru, kerajaan gagal saingi Pakatan Rakyat, Kita meletakan guru pada tahap yang benar-benar tinggi kerana merekalah individu yang membina masa depan pelajaran anak-anak," katanya lagi.

Mwngulas isu yang sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika ditemui turut berpendapat politik intimidasi terhadap guru sehingga memberi ugutan keras demi kelansungan politik kerajaan pemerintah dihujung usianya.

"Apa yang berlaku sekarang terhadap golongan guru ialah politik intimidasi iaitu amalan lazim Umno-BN menjaga dan menjamin kepentingan mereka untuk terus kekal memerintah selama-lamanya," kata Charles.

Charles turut mempersoalkan sikap 'double-standart' kerajaan dengan hanya membiarkan dan melindungi provokasi Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan Pemuda Umno menetang himpunan aman, yang mendapat sokongan baik rakyat Malaysia.

"Tetapi sekirannya mereka (guru) ikut perhimpunan anjuran Perkasa ataupun Pemuda Umno iatu dikira sebagai satu pengorbanan kepada negara.

"Inilah politik yang dimainkan oleh Umno-BN yang mana telah menyebabkan ramai penjawat awam bosan dan hilang kepercayaan terhadap kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling jaya Utara, Tony Pua menyifatkan perkara ini adalah usaha terdesak kerajaan pemerintah yang rakus mengunakan kuasa yang ada demi kepentingan politik termasuk mengugut kaki tangan kerajaan.

"Ini memang satu bentuk ugutan yang amat keras dan tidak berpatutan sekaligus mengambarkan kerajaan hari ini begitu terdesak sehingga terpaksa mengunakan segala jentera kerajaan untuk mengugut kakitangan kerajaan untuk tidak menyertai sebarang aktiviti politik.

"Kerajaan BN menggunakan kuasa yang ada untuk memaksa kakitangan kerajaan menyokong parti mereka sebaliknya mengekan penalti dan hukuman keatas mana-mana kakitangan yang memberi sokongan kepada pihak pembangkang, ini adalah tindakan tidak matang dalam negara demokrasi seperti Malaysia," ujarnya.