PAS Nafi Wujud Puak Erdogan




KUALA LUMPUR 25 MEI : Tanggapan umum kononnya wujud kumpulan Erdogan dalam barisan kepimpinan PAS untuk bersaing dengan golongan ulama yang ' berpengaruh ' disangkal beberapa pemimpin parti Islam itu.

Malah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan, apa yang wujud kini adalah pendekatan kepimpinan yang sedikit berbeza, namun hala tuju kepimpinan parti itu tetap sama dan berpaksikan Islam.

"Asas perjuangan PAS adalah Islam, sesiapa sahaja yang berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunah boleh menjadi ahli PAS,".

"Ia bukan bermaksud wujudnya kumpulan, tetapi aliran pemikiran yang mungkin sedikit berbeza untuk tangani masalah masyarakat dengan membawa perubahan,” katanya dalam Forum “Melakar Masa Depan PAS” semalam.

Khalid Samad yang juga Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, walaupun pendekatan yang mungkin dibawa ini sedikit berlainan, namun matlamat perjuangan yang ingin dicapai tetap sama.

“Maka aliran ini berubah ke arah lebih inklusif dan eksklusif yang mana pendekatan untuk semua, dengan itu berlakunya perbezaan pendapat. Perbezaan dari segi pendekatan ke arah mencapai matlamat yang sama,” ujarnya.

Malah, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut bersependapat dengan Khalid Samad bahawa kumpulan Erdogan yang dikatakan wujud dalam parti Islam itu lebih menjurus kepada pendekatan yang digunakan, bukannya berbentuk peribadi.

“Saya boleh katakan yang dimaksudkan dengan Erdogan bukan personaliti atau kelompok, ia lebih menjurus kepada satu pendekatan lebih daripada mengenali peribadi dan siapa yang dilabel sebagai Erdogan tidak bermaksud untuk menjadi entiti dalam PAS tapi lebih kepada pendekatan yang mahukan PAS ambil pendekatan lebih terbuka,” tegasnya.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, melihat kepada situasi politik semasa hari ini PAS perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima pandangan yang dikemukakan.

“Jadi Islam yang bukan hanya tertumpu Islam seseorang Melayu itu, tetapi Islam yang membawa rahmatalillalamin, bukan sekadar rahmatalilmuslimin apatah lagi rahmalil 'melayuin'...ini yang menjadi pendekatan PAS, mengambil inklusif yang berkonsepkan merentas bukan sahaja untuk islam melayu tetapi untuk semua," ujarnya lagi.

No comments: