KDN Hipokrit, Kata Hindraf




KUALA LUMPUR 25 MEI: Persatuan Hindraf Makkal Sakthi yang memperjuangkan hak asasi kaum India membidas sifat hipokrit Kementerian Dalam Negeri kerana enggan meluluskan pendaftarannya tetapi mudah mengiktiraf Perkasa walaupun pemimpin-pemimpin pertubuhan itu didakwa sering menimbulkan huru-hara.

Hindraf hari ini membawa pertikaianya dengan KDN ke mahkamah dengan persoalan kenapa kementerian itu bersikap pilih kasih dalam isu kelulusan pendaftaran.

Hindraf mengemukakan permohonannya pada tahun 2009 namun sehingga ini belum mendapat jawapan dari KDN. Pemimpin-pemimpin pergerakan itu percaya ini kerana mereka sering mengkriitik dasar-dasar Barisan Nasional yang didakwa menjejas kepentingan masyarakat India.

Hindraf menfailkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perintah supaya badan itu diperakukan sebagai pertubuhan bukan kerajaan selaras dengan Artikel 10(1)(C) yang dibaca bersama Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 dan 18 Akta Pertubuhan 1966.

"Perkara utama yang saya persoalkan, "orang gila" membuat huru-hara dan mereka diiktiraf sebagai NGO macam Ibrahim Ali dan Perkasa. Saya tidak tahu apa yang dia perjuangkan, mencetuskan kekecohan dalam negara termasuk memburukkan imej agama beliau sendiri iaitu Islam, kata pemimpin Hindraf M.Manoharan merujuk kepada Presiden Perkasa Ibrahim Ali.

"Kenapa Hindraf Makkal Shakti tidak boleh didaftar sebagai NGO tetapi Perkasa boleh. Kita mahu perkara yang sama diberikan kepada Hindraf," ujar beliau.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen bebas Pasir Mas sering dituduh sebagai pelampau yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasis. Baru-baru ini beliau mengugut untuk melancarkan perang jihad bersabit laporan fitnah kononnya ada konspirasi untuk menjadikan Malaysia negara Kristian.

Manoharan yang juga ADUN Kota Alam Shah berkata Hindraf mewakili suara rakyat India termiskin menuntut hak kesamarataan seperti yang terkandung dalam perlembagaan justeru mengelakkan perkara yang tercatit dalam Artikel 8 hanya menjadi satu illusi dan tidak efektif.

Permohonan untuk perintah mahkamah itu di buat oleh Setiausaha Kebangsaan Hindraf, P. Ramesh. Beliau menamakan Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein sebagai responden selain daripada Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Wilayah Persekutuan.

Manoharan berkata selain Perkasa, beberapa parti politik dan NGO pro-Umno begitu pantas diberi kelulusan oleh KDN, namun Hindraf terus dipinggirkan.

Ini termasuk Parti Makkal Sakti Malaysia (MMPS), Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA) dan Pekida.

Peguam P. Uthayakumar yang juga antara pengasas Hindraf berkata ahli badan itu terus menjadi mangsa kekejaman polis kerana memperjuangkan hak penduduk India.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin badan itu dipukul di bahagian kepada oleh polis menggunakan kayu pada satu perhimpunan Aman mengenai isu Kampung DBI Ipoh 13 April lalu.

Beliau turut menunjukkan kepada media beberapa keping gambar ketika polis melakukan keganasan terhadap anggota kumpulan pertubuhan itu.

"Mereka katakan Hindraf adalah haram, jadi kita mohon untuk menjadikan kita halal namun mereka tidak benarkan. Sekarag kita terpaksa minta mahkmah halalkan Hindraf Makkal Shakti," kata beliau.


No comments: