Demo DNA : Cubaan Tutup Pendakwaan Songsang

20/03/2011


KUALA LUMPUR, 20 MAC: Siri tunjuk perasaan anjuran Umno bagi mendesak Datuk Seri Anwar menyerahkan sampel DNAnya adalah hanya untuk melengkapkan cubaan pihak berkuasa mengguna bukti reka cipta untuk mensabitkan ketua pembangkang itu.

Peguambela Anwar, R. Sivarasa berkata hakikat yang cuba disembunyikan oleh pemimpin Umno dan media arus perdana adalah wujud bukti terang-terangan mengenai usaha memalsukan keputusan ujiani DNA terhadap Anwar bersabit tuduhan fitnah liwat dua.

“Bagi saya demo-demo yang dibuat oleh pihak Umno jelas berniat jahat dan dibuat bagi mengelirukan rakyat sebab bagi saya ini menunjukkan mereka kurang faham mengenai isu sebenar dalam kes ini.

“Isu sebenar dalam kes ini, sampel-sampel DNA yang diuji dan dibentangkan dalam mahkamah yang kononnya daripada badan Saiful, memang bagi kita sampel DNA itu telah dimanipulasikan dan terdapat aspek yang meragukan dan direka untuk memberi gambaran bahawa DNA Anwar telah ada di sana,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin tertentu dalam Umno tidak dapat lari dari hakikat bukti DNA yang di bawa ke mahkamah sebenarnya tercemar dengan keterangan-keterangan bercanggah doktor dan pegawai penyiasat.

“Kalau saya Datuk Seri Anwar, tentunya saya pun mengambil pendirian kenapa saya harus memberikan sampel untuk melengkapkan sesuatu keputusan yang saya tahu memang dipalsukan," kata Sivarasa.

“Sebab itu kita menolak sama sekali desakan mana-mana pihak untuk meminta Datuk Seri Anwar untuk memberikan DNA sebab isu pokok dalam kes ini adalah sampel DNA telah direka. Dan itu jelas daripada semua keterangan dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Najib Razak sendiri melanggar arahan mahkamah dengan menyatakan sokongan kepada tunjuk perasan anjuran juak-juak partinya untuk mendesak Anwar memberikan sampel DNA beliau.

Tindakan Najib selaku Perdana Menteri itu dilihat untuk memberi tekanan kepada Hakim Zabidin Mohd Diah yang sebelum ini memutuskan polis memperolehi bukti sampel DNA secara tidak sah.

Susulan itu pendakwaraya memohon hakim untuk mengarahkan Anwar memberikan sampel baru sungguhpun tidak ada peruntukan undang-undang sedemikian.

Najib membuat desakan terbuka mahukan Anwar memberikan sampel DNAnya setelah tunjuk perasaan anjuran penyokong beliau hanya mendapat sokongan hambar walaupun diberi liputan meluas oleh media kawalan Umno.

Esok Hakim Zaibdin akan mendengar hujah peguam Karpal Singh kenapa permintaan pendakwaraya itu harus ditolak.