Faekah: Noh Omar, ambil kursus sebelum buka mulut
Tidak terkejut dengan reaksi beberapa pemimpin UMNO terutama dari Selangor apabila akhirnya Kerajaan Selangor dengan berani dan tegas mengedarkan laporan audit Yayasan Selangor (YS) kepada umum. Jika diteliti, laporan tersebut sekali gus menafikan dakwaan Noh Omar bahawa kos majlis makan malam bernilai RM800,000 sedangkan kos makan malam hanyalah RM300,000. Kos yang disebut oleh Noh Omar adalah keseluruhan kos program sepanjang tahun sambutan 40 tahun Yayasan.
Rata-rata nampaknya pemimpin UMNO walaupun telah menjadi Menteri tidak mempunyai pengetahuan dalam perakaunan. Justeru mereka gagal memanfaatkan laporan audit yang kita bentang. Mereka gagal memahami apa yang dikatakan belanjawan, keuntungan dan kerugian serta aliran tunai dalam satu-satu akaun. Kita suka mencadangkan agar kerajaan pusat menghantar mereka menjalani kursus perakaunan agar lebih memahami akan selok belok akaun dan tadbir urus kewangan.
Kita mencadangkan sedemikian kerana akibat cetek ilmu dalam perakaunan telah membuatkan mereka mengeluarkan kenyataan terpesong, contohnya dalam isu Yayasan Selangor meskipun audit lengkap berada di depan mata. Kenyataan salah mereka ini semestinya memalukan diri dan Kerajaan Malaysia kerana dikeluarkan oleh seorang berstatus menteri seperti Noh Omar (gambar kanan).
Apa-apapun saya yakin kenyataan beremosi ini dilakukan kerana semakin hampir pilihanraya. Umpama mahu menangguk di air keruh Noh cuba untuk memperlekehkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang sebenarnya telah membuktikan mereka lebih telus, berani dan bertanggungjawab dalam mengurus negeri Selangor.
Untuk makluman Noh, defisit yang berlaku dalam kewangan YS bukan berlaku dalam tempoh setahun atau sekelip mata sebaliknya akibat pengurusan dan pemantauan buruk untuk sekian lama. Pakatan Rakyat berdepan tugas berat dalam memperbaiki kesilapan yang terkumpul sejak 52 tahun lalu untuk memastikan semua syarikat kerajaan termasuk Yayasan Selangor diurus dengan baik.
Kerajaan negeri akan memastikan tidak ada mana-mana individu terutama ahli politik yang menyedut keuntungan daripada anak syarikat negeri seperti yang dilakukan sebelum ini. Semua ini seharusnya menjadikan mereka menjaga mulut mereka. Sebaliknya mereka seharusnya kagum dengan Kerajaan Selangor yang berani mendedahkan satu laporan yang pada ketika pemerintahan BN, Yayasan Selangor telah tidak diaudit hampir lima tahun lamanya.
Mendesak Khalid Ibrahim (gambar kiri), mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan, mereka berkata seolah-olah mereka tidak mempunyai cermin. Kita cabar Kerajaan Pusat agar memulakan tindakan tersebut kerana bukan sahaja gagal membentangkan belanjawan yang seimbang sejak 12 tahun yang lalu malah terdapat terlalu banyak kepincangan yang disumbat di bawah kapet.
Keseluruhan Menteri Kabinet terpaksa mengaku ditipu oleh dua pemimpin MCA dalam isu projek mega Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hingga kerugian RM12 bilion. Pengeluaran wang keluar bernilai RM208 bilion pada tahun 2008 lalu sehingga kini tidak terjawab oleh BN.
Noh Omar sendiri terpalit dalam isu monopoli benih padi yang bernilai RM35 juta yang memberi kerugian dan kesengsaraan petani kecil di Tanjung Karang. Sehingga hari ini Noh diam membisu. Abdul Shukor Idrus pula terpalit dengan aktiviti tidak bermoral; mengedar makalah haram. Semua ini seharusnya menjadikan mereka menjaga mulut mereka jika tidak mencermin diri.
Cukup kelakar UMNO boleh mendesak Menteri Besar meletak jawatan hanya kerana mengambil pendekatan telus dalam mentadbir Yayasan Selangor, sedangkan UMNO dan BN telah mempersiakan peluang yang diberikan; 52 tahun untuk mentadbir dengan baik. Jika Noh Omar mahu memperbaiki kredibilitinya, elok dia selesaikan dahulu isu benih padi sebelum beliau disumpah para petani miskin.
Pada masa yang sama kita juga mencabar Noh Omar membuat desakan serupa kepada Perdana Menteri dan Timbalannya di atas kelalaian mereka mentadbir hingga tertipu dan kerugian ratusan bilion. Saya yakin Noh tidak akan mampu melakukannya, kononnya bercita-cita menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya UMNO kembali berkuasa di Selangor. Nasihat saya, elok disimpan sebagai angan-angan.
*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar kiri) selaku Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.