Lawan BN, berahi saja tak cukup




Ketahui dirimu
Ketahui musuhmu
Seratus pertempuran
Seratus kemenangan
- (petikan dari buku Seni Perang oleh Sun Tzu )

Untuk mengambil alih kuasa bukan sesuatu yang mustahil. Sejarah telah menunjukkan tentang satu gerakan Pak Tani berbaju hitam yang sering diperlekeh media Barat tetapi berjaya mengalahkan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1975. Pada tahun 2006 satu lagi kuasa bala tentera yang tercanggih dan terkuat di Timur Tengah telah dikalahkan oleh anak anak muda dan pak-pak lebai yang bergerila di Selatan Lebanon.

palestine hamas and fatah unite 270209 02 Apa yang ada pada Vietcong? Apa yang ada pada gerakan Hezbollah di Lebanon? Apa kekuatan mereka? Kalau dikaji selidik maka kita akan mendapati bahawa politik mereka bergerak melalui pemikiran strategik.

Jangan silap anggap. Pemikiran strategik ini bukan hanya bersabit dengan perang atau kuasa politik. Hukum dan syarat pemikiran strategik yang sama boleh digunapakai dalam hal perniagaan dan jual beli. Malah dalam semua hal kehidupan harian, kita memerlukan pemikiran strategik.

Justeru, jika ada sesiapa yang berahi untuk mengambil alih kerajaan - keberahian sahaja tidak mencukupi. Kudrat dan tenaga kerbau tidak diperlukan sepanjang masa. Apa yang diperlukan ialah taktik dan strategi. Apa yang diperlukan ialah pemikiran strategik. Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik memerlukan lebih dari jeritan reformasi atau takbir!

Dalam usaha gigih sebuah gerakan atau sebuah parti politik untuk mengambil alih kuasa, ia memerlukan garis politik yang tepat. Semua perjuangan memerlukan sahabat dan kawan. Ada sahabat berjangka pendek ada sahabat berjangka panjang. Ada setiakawan sementara dan ada setiakawan sepanjang masa. Ini hakikat perjuangan. Ini adalah taktik dan strategi untuk mengambil alih kuasa. Ini realpolitik - politik yang dieja dengan huruf K.

Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik wajib menghebohkan dasar yang ingin diajukan kepada orang ramai. Dasar-dasar ini wajib dilihat masuk akal dan berdiri di bumi yang nyata. Bukan dasar yang berterbangan di langit atau di awang-awangan. Janji-janji yang tidak masuk akal akhirnya akan menjerut leher sendiri. Inilah politik - inilah hakikat realpolitik.

P'raya Tenang, PAS pasti kalah


Hari ini telah terpadu kesepakatan tiga buah parti politik - PKR, PAS dan DAP. Munculnya Pakatan Rakyat bukan kerana harga ayam di pasar Chow Kit naik harganya. Atau kerana sotong makin berkurangan untuk dicandat di Kuala Terangganu. Setiakawan Pakatan Rakyat lahir kerana hukum dan syarat realpolitik dalam negara kita ini.

azlanKelahiran Pakatan adalah hasil dari pemikiran strategik yang memahami asas budaya dan politik tanah air. Kesedaran untuk memahami cita-cita dan harapan anak semua bangsa dalam negara ini adalah wajib. Warga dari pelbagai agama dan anak semua bangsa memerlukan kesepakatan dan kerjasama untuk mengambil alih kuasa.

Justeru, realpolitik di Malaysia ini telah melahirkan syarat bahawa parti politik atau gerakan apa pun yang ingin mengalahkan kerajaan pimpinan United Malays National Organisation wajib berkongsi kuasa. Ini hakikat realpolitik. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) boleh meloncat tunggang terbalik, ia tidak akan mengubah hakikat ini.

azlanHari ini tarikh pilihan raya kecil di DUN Tenang telah diumumkan. Pakatan Rakyat akan meletakan calon. Umum telah didesas desuskan tentang bakal calon ini akan datang dari parti PAS.

Dalam suasana sedemikianlah Pakatan, terutama parti PAS wajib memiliki keupayaan untuk berfikir secara strategik. Untuk berfikir jauh melihat politik berjangka panjang dan mengambil langkah dan jejak politik yang strategik. Ini realpolitik, bukan mimpi dan angan angan Mat Bunga.

Jika PAS bertanding di DUN Tenang jawabnya ialah kekalahan. Ini satu kepastian. Kekalahan ini bukan kerana perjuangan Pakatan atau PAS tidak jujur. Kekalahan ini kerana hakikat realpolitik. Menghantar kerbau untuk melanggar kereta kebal Sherman T-20 adalah kerja yang amat bebal. Justeru satu pemikiran baru wajib dimunculkan apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian.

Realpolitik telah menunjukkan bahawa reka bentuk penduduk di Tenang tidak menyebelahi PAS. Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 14,511 pengundi; 49.66 peratus Melayu, 38.13 peratus Cina, 12.11 peratus India dan kaum-kaum lain 0.10 peratus.

Tugas suci media

Sekali baca sahaja sesiapa yang waras akal fikrahnya akan bersetuju untuk bersependapat bahawa calon PAS akan bungkus. Ini tidak memerlukan pemikiran strategik. Jangan tersilap baca dan berdolak dalik. Bertanding dalam pilihan raya bukan untuk berdakwah atau bertabligh. Atau hendak 'mencuba pasaran'. Bertanding dalam pilihan raya bertujuan untuk menumpaskan parti lawan dan mengambil alih kuasa. Ini realpolitik bukan angan-angan Mat Bunga yang baru jatuh cinta.

azlan Pada tahap ini Pakatan sedang diserang oleh media United Malays National Organisation. Jangan bersedih terbarai menangis sayu. Jangan berkata ini tidak adil. Ini tidak siuman. Ini satu kezaliman yang penuh dengan tohmah dan fitnah. Dalam pertempuran realpolitik apa yang dilakukan oleh media milik United Malays National Organisation ini adalah tugas suci mereka.

Dalam serangan ini PKR dan Pas telah dituduh menjadi barua kuda tunggangan DAP. Ini amat senang untuk difahami dan tidak memerlukan pemikiran strategik. Ini sap sap soi (senang saja). DAP adalah parti Cina. Maka apabila PAS dan PKR ditohmah sebagai kuda DAP, maka dilihat PKR dan PAS ini menjadi barua parti Cina. Dengan ini diharapkan orang Melayu akan lari dari menyokong PKR atau PAS. Ini bukan pemikiran strategik. Ini pemikiran ikan belukang yang mulut ternganga di tepi longkang.

Bayangkan jika minggu ini para pemimpin PAS bersidang dan berbincang. Mereka melihat Tenang dari kaca mata realpolitik. Membaca politik dengan pemikiran strategik. Lalu mereka mengambil satu pendekatan yang amat strategik.

umno standard Pemimpin PAS secara berbesar hati memulangkan kerusi yang menjamin kekalahan mereka ini kepada pucuk pimpinan Pakatan. Dalam masa yang sama PAS akan menerangkan kepada ahli parti dan para penyokong bahawa dari kajian kependudukan, parti PAS berpendapat bahawa adalah lebih baik kerusi ini ditandingi oleh PKR.

Lihat reaksi umum. Seluruh negara akan gempar. Media United Malays National Organisation akan kering dakwat dan hilang punca tidak tahu apa yang perlu ditohmah tentang PAS. Laman web dan blog pro Barisan akan menjadi ungka menyalak berpanjangan dalam rimba politik yang baru. Tetapi yakinlah langkah PAS ini adalah serampang dua mata.

Kenapa Najib langgan Apco?

Langkah strategik PAS ini akan memaparkannya sebagai sebuah parti politik mendewasa dan bukan lagi parti kampongan dari Ulu Kelantan atau Seberang Takir. PAS dilihat cekal bertakwa dan sedang bersedia untuk mengambil alih pemerintahan Malaysia.

nik aziz hugging hadi awang b 230708Hadi Awang dan Nik Aziz Nik Mat akan dilihat sebagai penyelamat anak semua bangsa dan bukan kaum kerabat Taliban. Persepsi umum terdadap PAS sebagai Taliban akan pecah berderai-derai.

Besar kemungkinan - malah hampir pasti calon yang akan diletakan oleh PKR itu akan kalah. Di sebalik kekalahan ini, ada kemenangan yang amat besar di Tenang. Secara strategik Pakatan telah memusingkan satu kekalahan untuk dijadikan satu kemenangan. Kemenangan besar adalah propaganda dan persepsi kepada umum - orang ramai akan melihat dan membaca bahawa setiakawan antara tiga parti ini adalah kukuh, ampuh dan padu.

Kemenangan yang hakiki akan dimiliki oleh PAS. Parti ini akan dilihat sebagai sebuah parti yang berupaya untuk melihat politik berjangka panjang bukan politik ego Taliban berserban tinggi. Jika langkah strategik ini diambil walau pun Pakatan kalah di Tenang tetapi keyakinan orang ramai terhadap pemuafakatan ini akan bertambah kukuh.

azlanApakah yang dibaca ini satu mimpi? Jawabnya tidak. Apa yang ditulis diatas adalah pendekatan pemikiran strategik dalam gerak langkah politik. Inilah yang dipanggil taktik dan strategi. Inilah satu-satunya cara yang membawa kemenangan kepada rakyat Vietnam. Inilah caranya kuasa imperial Anglo-Amerika akan dikalahkan di Iraq dan Afghanistan. Inilah juga pendekatan Hezbollah ketika mengepong zionis Isreal di Lebanon.

Harus kita sedari bahawa United Malays National Organisation sebagai sebuah parti tidak lagi memiliki sokongan ampuh dari orang ramai. Parti ini semakin terpinggir dan semakin terpencil. Lalu timbul persoalan jika gerombolan ini tidak mendapat sokongan, kenapa mereka terus berkuasa?

Jawapan kepada soalan ini cukup senang. Gerakan dan parti politik yang cuba menumpaskan gerombolan ini masih lagi dibungkus oleh ego kepartian. Ego kepimpinan. Gagal melihat kepentingan orang ramai lebih penting dari kepentingan diri dan parti.

Berahi untuk mengambil alih kuasa tanpa memiliki pemikiran strategik samalah seperti saekor kerbau ingin memandu Boeing 747. Bercita-cita untuk menjadi kerajaan tanpa memiliki pemikiran strategik samalah seperti ingin naik haji tetapi tidak menyimpan duit dan tidak memohon pasport. Akhirnya, sila bertanya, kenapa agaknya Najib Razak dan Rosmah Mansor melanggan Apco?

No comments: