LAGI PILIHANRAYA KECIL?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Datuk Sulaiman Taha disahkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi tadi ketika berada di wad rawatan kecemasan atau ICU untuk merawat jangkitan kuman dalam darah di hospital Ampang Puteri setelah dirawat di ibu negara hampir sebulan.Kematian Sulaiman telah membawa negara bagi melihat satu lagi pilihanraya kecil (PRK) dalam masa 60 hari selepas notis yang bakal diberikan oleh Speaker DUN Johor kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Wakil rakyat dari Umno itu dimasukkan ke hospital sehari selepas sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor. Sebelum ini Allahyarham dilaporkan dalam keadaan yang baik tetapi lemah dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan kecemasan.

Sulaiman yang menjadi ahli DUN di kawasan tersebut selama dua penggal turut mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi. Allahyarham juga adalah Ketua Umno Labis telah berada di Hospital Segamat selama dua hari sebelum dipindahkan ke hospital Ampang Puteri di sini sejak 24 November lalu setelah mengalami jangkitan kuman paru-paru.

Di dalam pilihanraya umum 2008, Sulaiman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan menewaskan calon dari PAS Mohd Saim Siran dengan memperolehi majoriti sebanyak 2,492 undi.

DUN Tenang terletak di dalam Parlimen Labis selain dari DUN Bekok. Kerusi Parlimen Labis disandang oleh anak Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek iaitu Chua Tee Yong.

Sebelum ini Allahyarham dilaporkan tidak menghadiri sidang DUN bulan lalu semasa perbahasan bajet 2011. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Noraini Yaakop dan tujuh orang anak.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 13 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya diadakan disebabkan oleh kematian wakil rakyat kawasan tersebut. Terdapat 56 kerusi DUN di dalam negeri Johor yang mana 50 darinya dimenangi oleh BN manakala empat oleh DAP dan dua oleh PAS.-KLToday.com