Tafsiran "Muktamad" Speaker Kangaroo Court
Parlimen Malaysia membuka lembaran sejarah kegelapan baru hari ini setelah bersidang dalam kekecohan "ala-Kangaroo court". Umum sedia maklum bahawa Kangaroo sejenis binatang yang menjadi lambang khusus Australia. Tetapi hari ini dengan Speaker yang acap kali menitikberatkan bahawa segala keputusan Speaker adalah "muktamad" meskipun "modus operandi" keputusan muktamad Speaker Parlimen Australia jauh berbeza dengan "modus operandi" "keputusan muktamad" Speaker Parlimen Malaysia. Rakyat dunia 1Malaysia cukup bernasib baik kerana berkesempatan melihat dari dekat kejadian-kejadian yang mencorakkan Kangaroo court meskipun apa yang berlaku adalah sesuatu yang memalukan Malaysia apabila dilihat dari jauh oleh masyarakat antarabangsa termasuk negara yang dilambangkan oleh Kangaroo.
Dalam kekecohan yang telah dilaporkan segera oleh laman web berita, aku yang berperut buncit memerhatikan sesuatu yang wajar dibangkitkan dalam ulasanku mengenai peranan Speaker dalam Kangaroo court yang juga berperut buncit yang kononnya "above politics" semasa kekecohan berlaku.
Nota dari Nazri Aziz
Semasa telefon bimbitku mencatatkan jam 10.38 pagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz menghulurkan sekeping nota kepada Bentara lantas diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah. Roosme memegang dan membaca nota tersebut selama lebih kurang 60 saat hingga 90 saat, kemudian diserahkan nota itu kembali kepada Bentara yang sama. Bentara kemudian menyerahkan nota tersebut kepada Speaker Pandikar Amin. Speaker merenung nota tersebut selama lebih kurang 60 saat sementara hujah bantahan satu per satu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen tanpa dihiraukan.
Tidak lama selepas itu, Pandikar (gambar kiri) mencadangkan mereka membuat usul jika tidak berpuas hati dengan keputusan dan interprestasinya berhubung Peraturan Dewan. Sejurus selepas itu, Ketua Whip Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali terus bangkit lagi dan berkata, "Tetapi awak tidak mahu terima usul kami!"
Jam 11.24 pagi, nota kedua dihulurkan kepada Speaker. Kemudian, Speaker mengugut untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali segera menuntut untuk mengetahui peraturan mana yang akan digunakan oleh Speaker untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Speaker kemudian memutuskan undian dijalankan tanpa perbahasan. Usul menggantung Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim diluluskan dengan suara majoriti.
Ketika saudara-saudari wartawan sekalian memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di Lobi Parlimen setelah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meninggalkan Dewan Rakyat, aku pula memerhatikan penjalanan Dewan Rakyat yang seterusnya.
Setelah usul menggantung Ketua Pembangkang diluluskan tanpa perbahasan dan dibaca usul seterusnya untuk menggantung Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan Azmin (gambar kanan), Speaker menanyakan ahli dewan sekalian: Perlukah usul dibahaskan?
Kedengaran suara ahli dewan yang rata-ratanya tinggal Ahli Parlimen Kerajaan 1Malaysia mengatakan "tak perlu" diikuti dengan balasan "perlu". Perlu kerana tanpa perbahasan, Parlimen dan Speaker akan kelihatan tidak "above kerajaan".
Implikasi dan detik-detik kejadian yang mencorakkan lembaran kegelapan Parlimen "ala-Kangaroo court" kali ini cukup signifikan. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tinggal 76 orang setelah wujudnya Konsensus Bebas yang tak bebas kini berdepan dengan risiko cabang Eksekutif yang selama ini "above perundangan" menggunakan peluang ini untuk melakukan pindaan akta yang memerlukan 2/3 majoriti.
Jika ditolak empat setelah mengambil kira Ketua Pembangkang dan tiga lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang digantung selama enam bulan - dalam tempoh enam bulan akan datang, adakah Speaker yang tegas dengan "keputusan muktamad" Kangaroo Court akan menggunakan kuasa dan budi bicara beliau dan menafsirkan 2/3 majoriti sebagai 2/3 daripada jumlah ahli parlimen yang hadir dalam dewan?
Meskipun sesungguhnya 2/3 majoriti merujuk kepada 2/3 daripada jumlah ahli parlimen sedia ada, kita hanya yakin dengan Speaker yang benar-benar "above eksekutif", bukan Speaker Kangaroo Court yang cenderung untuk membuat penafsiran "luar biasa" secara muktamad!
Speaker dipertikai
Telitilah Laporan Minoriti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Subang. Ikutilah hujah-hujah mereka dalam Dewan Rakyat pagi tadi sebelum ditendang keluar oleh Kangaroo Court. Yang dipertikaikan dalam usul menggantung Ketua Pembangkang bukan keputusan apa yang diambil tetapi proses keputusan tersebut dibuat dan diubah setelah Speaker yang berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sendiri menafsirkan Peraturan Mesyuarat 82(11) bahawa Jawatankuasa mempunyai budi bicara untuk menolak mendengar sebarang keterangan yang tidak relevan. Bagaimana Dewan Rakyat (baca: Majlis) mengetahui bahawa keterangan Ketua Pembangkang "tidak relevan' apabila Pengerusi Jawatankuasa telah menafikan hak Ketua Pembangkang untuk memanggil saksi-saksi beliau sendiri dalam perkara ini dan hak beliau sendiri untuk didengar?
Sedangkan Ketua Pembangkang telah menerima jaminan daripada Speaker semasa prosiding dalam Majlis pada 22 April 2010 dan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kedua dan Ketiga pada 8 Jun 2010 dan 9 Jun 2010 bahawa beliau akan dibenarkan untuk mendengar semua keterangan saksi yang diberikan di hadapan Jawatankuasa dan peluang untuk bertanyakan soalan kepada saksi-saksi. Apakah penjelasan Speaker terhadap conflict of interest yang berlaku semasa beliau berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa? Apakah penjelasan Speaker terhadap tafsiran luar biasa yang diputuskan secara muktamad?
Majoriti 2/3
Balik semula kepada persoalan 2/3 majoriti. Menurut Pegawai Penyelidik Parlimen Malaysia, "keperluan majoriti 2/3 ahli Dewan bagi meluluskan sesuatu undang-undang hanya membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sahaja. Dari tahun 1958 sehingga tahun 2007, sebanyak 55 pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen. Pindaan-pindaan ini adalah membabitkan pindaan Akta Perlembagaan, Ordinan Perlembagaan, Akta Malaysia, Akta Darurat, Ordinan Darurat, Akta Matawang Malaysia, Akta Pemberian Ikut Kepala, Perintah Keanggotaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Perintah Keanggotaan Suruhanjaya Pendidikan dan Perintah Keanggotaan Mahkamah".
Setelah menyaksikan babak-babak Kangaroo Court pagi ini, aku yang tidak mengharapkan Perdana Menteri 1Malaysia mencabar dan membantah sekuat-kuatnya kepada Kerajaan Singapura apabila beliau dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya menurut Wikileaks, kini juga tidak mengharapkan Speaker Kangaroo Court membuat keputusan muktamad yang benar-benar muktamad dan "above" keputusan Kerajaan 1Malaysia.
Oleh sebab itu, meskipun aku tahu tafsiran 2/3 majoriti seharusnya merujuk kepada 2/3 daripada jumlah ahli dewan sedia ada, aku masih merasakan sesuatu yang lebih gelap akan berlaku dalam dunia 1Malaysia. Melainkan sekiranya Speaker sedia ada meletak jawatan dan digantikan dengan calon yang tidak memihak kepada Kerajaan dan tidak membuat tafsiran luar biasa secara muktamad!
Bak kata Charles Dickens dalam karya beliau A Tale of Two Cities:
"Ini adalah saat yang terbaik, ini adalah saat yang terburuk; ini adalah zaman kearifan, ini adalah zaman kebodohan; ini adalah era mempercayai, ini adalah era syak wasangka; ini adalah musim Kecerahan, ini adalah musim Kegelapan…"
Tambahan juga, jumlah ahli parlimen Pakatan Rakyat kini tinggal 76 orang, Kerajaan yang above Kangaroo Court hanya memerlukan dua lagi ahli parlimen bagi mengemukakan pindaan akta yang memerlukan 2/3 majoriti.
Justeru, babak-babak kegelapan pagi ini wajar dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat supaya jangan dilupakan betapa signifikannya apabila 76 menjadi 74. Menjelang pilihanraya umum, dalam detik-detik kecerahan kelihatan babak-babak kegelapan, dalam babak-babak kegelapan haruslah dicungkil keluar detik-detik kecerahan.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).