Pemuda Kedah: Gantikan pengerusi Umno negeri ‘diimport’
KUALA LUMPUR, 20 Okt — Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah hari ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang “diimport” dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Ketua Pemuda Jerai Bassori Hassan berkata, pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal (gambar) dari Sabah sebagai pengerusi negeri sebenarnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang ahli-ahli politik tempatan.
“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.
“Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, takde pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar.
“Tolong kaji balik pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan negeri-negeri pembangkang lain,” kata beliau ketika menyertai perbahasan pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno hari ini.
Bassori berkata mereka yang memegang jawatan pengerusi perhubungan negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.