Masalah dalaman UMNO Perak cukup parah jika mahu dibandingkan dengan krisis Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi bualan hangat pemimpin politik hari ini khususnya dari UMNO.
Ketua UMNO Cawangan Pekan Batu Lima Bahagian Parit Buntar, Sulaiman Mohd Zaini berkata, hanya orang dalam sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku dalam UMNO Perak.
Menurutnya, sikap Ketua Bahagian yang hanya mementingkan diri merumitkan lagi keadaan sehinggakan sanggup menganjurkan pelbagai gerakan berbentuk sabotaj terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Sikap Ketua Bahagian yang angkuh dan sombong serta langsung tidak memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin memburukkan lagi keadaan.
“Mereka ini dilihat hanya mahu mengaut keuntungan atau mengambil kesempatan terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir demi kepentingan diri sendiri,.
“Ada juga sanggup membuat aduan palsu kepada kepimpinan UMNO Pusat dengan menyatakan Menteri Besar tidak membantu ketua-ketua bahagian di negeri ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, Greentown di sini, semalam.
Sulaiman berkata, Ketua Bahagian yang rata-ratanya sudah menjangkaui umur veteran dan sudah tidak relevan lagi untuk memimpin seharusnya sedar diri serta memberi peluang pula kepada golongan muda bekerja dengan rakyat.
Katanya, pemikiran golongan veteran ini terlalu konvensional dan sering kali melihat pembangkang sebagai musuh, walhal dalam kalangan golongan muda, persepsi berkenaan dilenyapkan sebaliknya kita boleh bergaul dengan semua parti, semuanya sebagai sahabat.
“Kita sebagai pemimpin parti jangan meletakkan perbezaan ideologi politik sebagai teras perjuangan sebaliknya letakkan rakyat pada kedudukan utama barulah dinamakan pemimpin.
“Banyak berlaku kesilapan dalam UMNO Perak, seharusnya perlu diubah dari sekarang, terutama golongan pemimpin veteran yang menerajui bahagian masing-masing perlu berundur secara terhormat dan bagi peluang kepada para pelapis untuk menerajuinya pula.
“Golongan veteran ini suka membodek pihak atasan serta mengugut Menteri Besar supaya memberikan projek untuk mereka dan kroni-kroni semata-mata mahu memuaskan kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku (mensabotaj Menteri Besar), pihak berkenaan membuat laporan palsu kepada kepimpinan Pusat dengan tujuan menjatuhkan Dr Zambry.
“Tindakan mereka ini tidak wajar, sepatutnya sebagai Ketua Bahagian, mereka memberi sokongan kepada kepimpinan Dr Zambry bukan mengkhianatinya, sebab itulah saya gesa Menteri Besar mengambil tindakan terhadap mereka bagi menghadapi perubahan kepada UMNO Perak.
“Selagi golongan ini menganggotai dan mengepalai bahagian, UMNO Perak akan menuju kepada kehancuran serta tidak mustahil juga pilihan raya umum akan datang, UMNO bukan lagi pilihan rakyat.
“Sebenarnya musuh sebenar bukan pembangkang tapi dalam kalangan UMNO sendiri yang perlu dihapuskan dan boleh juga dilabel sebagai firaun kecil sebagaimana gambaran kepada PKR,” katanya.
SABAHDAILY