“Harakah perlu juarai rakyat, lawan arus perdana” - Wan Hamidi Hamid

“Harakah perlu juarai rakyat, lawan arus perdana” - Wan Hamidi Hamid

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Akhbar perlu menambat hati para pembaca Melayu, tambahan pula dengan pendirian akhbar arus perdana yang kini dilihat sudah kurang menggali isu-isu yang menyentuh nurani rakyat.

"Realitinya, pembaca Harakah adalah orang Melayu," kata pengamal media Wan Hamidi Hamid dalam suatu sidang muhasabah bersama para petugas Harakah dengan beberapa pimpinan dan aktivis PAS di sini, hari ini.

Perbincangan itu diadakan untuk menggali beberapa permasalahan akhbar, media alternatif di samping mengenalpasti beberapa tindakan baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang beliau perolehi setakat ini, kadar jualan Berita Harian dan Utusan Malaysia misalnya berada di bawah 170,000 naskhah pada 2009 berbanding lebih 200,000 pada 2006.

"Ini kerana, salah satu sebabnya, ialah akhbar-akhbar perdana tersebut tidak akan melaporkan seperti yang yang dikehendaki oleh masyarakat, khasnya hal yang benar melibatkan kes perbicaraan Anwar Ibrahim.

"Kita mesti ingat, bahawa hari ini, Anwar masih lagi de facto dalam masyarakat," kata Wan Hamidi yang juga Pembantu Pengarah Research For Social Advancement (Refsa), sambil menjelaskan bahawa saingan Harakah yang terkini adalah Suara Keadilan.

Berdasarkan rekod, hasil jualan Harakah sejak Reformasi 1998 adalah sekitar 400,000 dan kini menurun sehingga 105,000.

Selain itu, berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Harakah telah menyiarkan banyak bahan maklumat kepada pembaca, tapi para pembaca khasnya muslimat kurang fasih mendalami isu-isu semasa.

"Kita kena gerakkan semacam suatu sekretariat untuk mengatasi masalah-masalah yang berbangkit dalam akhbar ini. Dan, mungkin kita perlu gerakkan kempen membaca dalam kalangan aktivis parti. Ini kerana, kalau ada maklumat pun dalam akhbar pun, mereka tidak membacanya," kata Aiman Athirah lagi.

Untuk menjadikan akhbar ini lebih dinamik, kolumnis Harakah, Abdul Shukor Harun berkata, akhbar itu tidak lagi boleh menjadi alat kepada organ parti sepenuhnya, malah ia mesti lebih banyak menjuruskan kepada usaha-usaha menggali isu-isu dalam masyarakat.

"Saya difahamkan, ahli-ahli Pas ada lebih sejuta orang, tetapi kenapa hasil jualannya cuma 105,000 naskhah sahaja?" soal beliau lagi.

Menyentuh hal yang sama, Ketua Pengarang Harakah Daily Zulkifly Sulong berkata, muka depan akhbar parti ini tidak boleh diletakkan berita parti bagi tujuan menarik minat pembaca terhadap akhbar tersebut.

"Suatu masa dahulu, kita pernah memutuskan supaya isu-isu nasional itu diletakkan di muka depan agar ia dapat menarik perhatian khalayak ramai.

"Sementara itu, laporan yang memuatkan berita parti pula, kita letakkan di bahagian belakang seperti berita Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan para pimpinan parti yang lain," kata beliau.

Program dihabiskan awal kerana Mazlan Aliman ditahan polis

Dalam pada itu, penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata, antara kaedah yang boleh dibuat untuk menguatkan laporan akhbar ini, ialah dengan mengadakan program 'pertukaran' penulis dan penulisan antara akhbar-akhbar alternatif tersebut.

"Ini bermaksud, penulis Harakah boleh menulis di Roket, wartawan dan penulis di Suara Keadilan boleh menulis di Harakah dan sebagainya," kata beliau.

Selain itu, tambah Mohd Sayuti, akhbar Harakah ini perlu menjurus kepada laporan berbentuk 'human interest' yang boleh merakamkan kisah keperitan hidup masyarakat yang menyayatkan hati pembaca.

Pertemuan untuk sidang bedah siasat Harakah ditamatkan lebih awal tengah hari ini kerana panelis jemputan khas untuk sidang petang ini tidak dapat hadir, ekoran penahanan polis ke atasnya bermula semalam.

"Sepatutnya, sidang bedah siasat akhbar ini dijangka tamat pada 4 petang ini, tapi kita habiskan lebih awal kerana Mazlan Aliman yang dijangka dapat membentangkan syornya itu, telah ditahan polis dengan sebab ceramahnya baru-baru ini di Raub," kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika ditemui erapakatan.com.