PENDAPATAN PETRONAS JATUH


Pendapatan Petronas Jatuh: Ekonomi Negara Terima Tempias




Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR: Pendapatan Petronas mencatatkan kejatuhan dengan jumlah RM 59 billion berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan mereka. Hal ini bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Negara telah berkurangan sekitar 57%. Ini telah dijelaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognya.



Kejatuhan pendapatan petronas ini mungkin akan memberi impak yang besar kepada ekonomi Negara sendiri amnya.
Sepanjang 5 tahun ini, Petronas adalah entiti yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Negara. Untuk tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan Petronas merupakan 44.9% dari pendapatan Negara.



“Sepanjang 5 tahun ini, penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS oleh kerajaan telah membengkak sekitar 21% setiap tahun. Ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber PETRONAS oleh kerajaan bertambah sebanyak 21% dari apa yang digunakan pada tahun sebelumnya.



Ini juga bermaksud sepanjang 5 tahun ini, wang yang disedut oleh kerajaan telah meningkat lebih dari dua kali ganda. Misalnya pada tahun 2005, petronas menyumbang sebanyak RM31.2 billion dari jumlah keseluruhan belanjawan Negara. Namun pada tahun 2008, jumlah wang Petronas yang membentuk belanjawan Negara adalah sebanyak RM 74 billion-peningkatan sebanyak 130% sepanjang 5 tahun ini.” Jelas Anwar lagi.



Beliau sebagai berkata, untuk tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan Petronas merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan terhadap Petronas ini telah mengaburi rakyat Malaysia dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka bagi memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998.



“Saya sewaktu membahaskan belanjawan 2009 telahpun menggesa kerajaan supaya menyemak semula belanjawan yang dibentangkan kerana perubahan mendadak serta keadaan tidak menentu harga petroleum ketika itu. Walaupun begitu saranan saya dan rakan-rakan ditolak oleh kerajaan umno-barisan nasional,” jelas Anwar lagi.



Anwar dalam blognya menyeru kerajaan Barisan Nasional agar memastikan ketelusan dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung kesan dari merudumnya keuntungan Petronas terhadap prestasi ekonomi Negara.



Anwar berpendirian adalah baik bagi negara Negara sekiranya Menteri Kewangan menjelaskan secara terperinci kepada Dewan Rakyat, semakan semula unjuran pendapatan Negara untuk tahun 2010 serta dampaknya kepada perbelanjaan untuk tahun 2010.